PAS mahu Perkukuh MN, Sekali Ahmad Said Cakap tak wujud kerjasama Muafakat Nasional di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengakui tidak berlaku kerjasama antara kepimpinan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di Terengganu.

Beliau berkata, semangat kerjasama di peringkat negeri tidak wujud bukan seperti yang berlaku di peringkat nasional.

“Persoalan sekarang mereka (Pas) masih mengamalkan sikap yang lama. Mereka kata mahu menjalin muafakat tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Misalnya berlaku tidak adil dalam agihan wang bantuan RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) di setiap negeri.

“Di Terengganu ia tidak diberikan secara sama rata kepada wakil rakyat UMNO. Wakil rakyat Pas menerima RM350,000 sebaliknya wakil rakyat UMNO mendapat sebanyak RM45,000. Itu pun selepas saya ‘bising’ mengenai hal itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, hari ini.

Menurutnya, beliau mempertikaikan peruntukan itu kerana disalurkan oleh kerajaan Pusat dan perlu diagihkan sama rata seperti yang dilakukan di Pahang dan Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut membangkitkan beberapa isu lain yang dilihat padanya tidak menggambarkan kewujudan semangat kerjasama antara Pas dan UMNO di Terengganu.

Katanya, jalinan kerjasama erat tidak berlaku di Terengganu walaupun tiga pertemuan sejak pembentukan MN pada 14 September lalu.

“Apa yang berlaku ini saya turut maklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malah kepimpinan beliau di peringkat nasional sudah maklum mengenai situasi yang berlaku di Terengganu,” katanya.

Semalam, Ahmad turut membangkitkan mengenai isu agihan peruntukan RM10 juta bagi bantuan Covid-19 ketika sesi perbahasan ketika Persidangan DUN.

Selain itu, Ahmad turut mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan-jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Menurutnya, individu yang mempunyai rekod yang tidak baik dan pernah dipecat didakwa turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Perkukuh Muafakat Nasional, pertahan kerajaan PN, PAS senada dengan Umno

Sebelum ini PAS senada dengan Umno untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan berkata, PAS bersetuju dengan penegasan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS akan terus menyokong kerajaan sedia ada.

“PAS yakin kepimpinan yang diterajui bersama oleh parti yang mendukung PN akan terus memberikan perkhidmatan terbaik di samping mengemukakan tawaran baru yang lebih bermanfaat kepada semua rakyat pelbagai kaum tanpa kecuali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Umno tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan MN bersama PAS dan komponen BN.

Beliau pada masa sama menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM untuk memperkukuhkan lagi kerjasama itu demi kepentingan rakyat dan negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*