
Isu membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib menjadi perdebatan ramai.
Dr. Khairuddin dikatakan berkunjung ke Turki atas urusan peribadi dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Julai, dan pada 13 Julai, beliau hadir ke Parlimen meskipun sepatutnya perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
Susulan itu, semalam, pihak Kementerian Kesihatan telah mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap Dr. Khairuddin atas perlanggaran perintah kuarantin tersebut.
Dr. Khairuddin telah memohon maaf atas perlanggaran perintah tersebut, dan memulangkan gajinya sebanyak empat bulan terhadap Tabung Bantuan Bencana Negara.
Profil dan biodata Dr. Mohd Khairuddin.
Khairuddin dilahirkan di Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 9 Disember 1973, merupakan anak sulung daripada 16 orang adik-beradik.
Merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Terengganu dan bertanding di atas tiket PAS, beliau juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.
Pendidikan
Pendidikan menengah awal di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu pada tahun 1986. Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Klang.
Namun hati lebih terpaut untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990, beliau lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu.
Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992 ke Universiti Jordan diterima.
Berjaya mendapat Sarjana Muda dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti Jordan pada tahun 1996.
Seterusnya pengajian di peringkat Sarjana diteruskan dan berjaya mendapat Sarjana Bahasa dan Kesusateraan Arab di Universiti Aal al-Bayt, Mafraq, Jordan pada tahun 2000.
Beliau kemudian melanjutkan ke pengajian kedoktoran dan memperoleh Ph.D Pengajian Islam (2011) di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur’an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur’an ke Dalam Bahasa Melayu.
Kerjaya pendidikan
Pada tahun 1999 diterima bertugas sebagai guru bahasa di Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Setelah menamatkan pengajian Sarjana di awal tahun 2000, beliau dilantik sebagai Pensyarah di Fakulti Bahasa UIAM sehingga tahun 2002.
Beliau mendapat tawaran sebagai pensyarah bahasa di UITM pada tahun 2002 namun ditolak kerana ingin bertugas di UKM.
Beliau bertugas sebagai Tutor pada tahun 2002, dan menjadi Pensyarah bermula pada tahun 2006 di Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Pada Ogos 2008, beliau meletakkan jawatan sebagai Pensyarah untuk memfokuskan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan perniagaan.
Kerjaya korporat
Beliau mengusahakan sebuah syarikat pengeluaran, pengilangan dan pemasaran produk kosmetik dan makanan kesihatan iaitu RD Beauty Industries Sdn Bhd dan menjadi Pengarah pada 2008 sehingga 2020.
Semasa masih bertugas di universiti, beliau turut mengusahakan sebuah syarikat penerbitan buku, Darul Fuqaha Enterprise bermula 2002 hingga 2013.
Beliau turut aktif dalam bidang hartanah dan pembinaan apabila menjadi Pengarah bagi DUPP Management Sdn Bhd (2010-2020) dan Lepu Development Sdn Bhd (2018-2020).
Dalam pada itu, beliau juga pernah menjadi pengurus di Al Marabi Management pada 2004 hingga 2013, iaitu syarikat berupa butik pakaian, penyediaan makanan, restoran, bakeri & pengurusan Umrah & Haji.
Penglibatan kemasyarakatan
Dr. Khairuddin mula berceramah di radio dan televisyen sejak pulang ke Malaysia pada tahun 1999. Pernah mengendalikan rancangan belajar bahasa Arab bermula tahun 2000 di Radio Nasional jam 6.15 ptg selama 3 tahun.
Berceramah di pelbagai slot di Radio Nasional dan Radio IKIM. Juga di TV 1, Tv 3 dan lain-lain. Begitu juga aktif berceramah, berdiskusi, berseminar di seluruh negara di masjid, surau dan jabatan kerajaan dan kementerian.
Pada tahun 2004 mengasaskan pusat pendidikan dan kebajikan Darul Fuqaha di Sg. Merab Bangi, Selangor dan Sek ren Islam Pintar Tahfiz pada tahun 2007.
Beliau cergas sebagai Penceramah (di masjid, televisyen dan radio), Penulis (buku, artikel dan makalah), Penerbit (buku-buku Islam, Penggiat Sosial dan Pengamal Perubatan Islam.
Sumber: wikipedia
Be the first to comment