“Saya Akan Menjaga & Merawatnya Hingga Ke Akhir Hayat” – Chef Wan Terkejut & Sedih Ibu Ada Kanser

Cef terkemuka negara, Cef Wan menyampaikan sebuah khabar yang kurang baik mengenai ibunda tercinta.

Melalui entri terkininya, Cef Wan menuliskan beliau membawa ibunya, Noraini Abdullah ke sebuah hospital swasta untuk menjalani ujian memmogram.

“Saya ke Hospital Gleneagle semalam bawa emak untuk buat memmogram (x-ray untuk bahagian dada) untuk kesan dan diagnos kanser buah dada.

Saya terkejut bila Doktor temui dua ketulan besar dan dah merebak ke bahagian kelenjar limfa (lymph nodes),” tulis Cef Wan.

Menurut Cef Wan lagi, setiap kali dia memandikan dan menyabun badan ibunya, ibunya meminta supaya dia melakukannya secara perlahan-lahan kerana berasa sakit.

“Setelah beberapa hari, saya nak ketahui sama ada kesakitan tersebut adalah ketulan. Jadi saya minta emak baring, saya guna tiga jari dan cuba rasa ketulan tersebut.

“Bila saya tekan jadi lebih dalam, saya dapat rasa satu ketulan bulat yang besar sama ada tisu yang mengeras atau mungkin isi badannya. Saya sangat terkejut,” ceritanya.

Biarpun bukan seorang doktor, Cef Wan mengakui dia banyak membaca artikel tentang kanser buah dada dan ada ketikanya dia turut dijemput ke majlis-majlis kesedaran kanser seluruh negara untuk melakukan demo masakan.

“Hari berikutnya saya terus bawa emak jumpak doktor dan jantung saya gugur mendengar berita yang selalu didengari daripada kawan-kawan, ibu mereka di dalam filem dan sekarang giliran emak pula.

“Doktor mahu saya bawa emak pada Isnin nanti untuk buat CT Scan bagi mendapat maklumat lebih tepat jika kanser tersebut merebak ke bahagian lain pada badannya,” kata Cef Wan.

Walau bagaimanapun, menurut Cef Wan, doktor memberitahu keadaan ibunya mungkin tidak baik memandangkan umurnya dan saiz tumor yang besar tidak membolehkan ibunya untuk melakukan chemotheraphy atau pembedahan.

“Nak buat biopsy pun macam tak ada point sebab tentunya menyakitkan untuk emak kerana tumor tersebut dan membesar. Apa yang boleh dibuat adalah memberikan ubat untuk cuba mengecilkan tumor tersebut.

“Walaupun saya sangat sedih untuk emak dan keluarga, tetapi saya kena kuat untuk menerima cabaran ini dan menghadapi sehingga ke akhirnya.

“Paling penting saya akan menjaga dan merawat emak sebaik mungkin yang saya dapat lakukan, mencurahkan segala kasih sayang dan memberikan ketenangan kepadanya sehingga ke akhir hayatnya.

Cef Wan kemudian turut melahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk menjaga ibunya yang tercinta.

“Dia pasti akan pergi juga. Dalam masa dua minggu, emak akan menyambut usianya yang ke 89 tahun,” tulis Cef Wan yang mengakui dia tidak dapat tidur sepanjang malam.

Sumber Gempak

Be the first to comment on "“Saya Akan Menjaga & Merawatnya Hingga Ke Akhir Hayat” – Chef Wan Terkejut & Sedih Ibu Ada Kanser"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*