
Susulan peningkatan mendadak angka pesakit COVID-19 semasa, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menggesa agar pihak berwajib menangguhkan sesi persekolahan dengan segera.
Kata Fazley, situasi membimbangkan ini secara tidak langsung akan mendedahkan risiko kepada pelajar dan guru sekolah.
“Cikgu-cikgu dan murid-murid harus mudla dicutikan sekolah sebelum terlambat!
“Korang tak risau ke? Setuju tak apa yang saya sarankan. Dalam diam saya amat yakin ramai ibu bapa bersependapat dengan saya,” tulisnya di Instagram.
Fazley turut membuka ruang undian di Instagram Storiesnya memohon pandangan umum mengenai cadangannya.
Cadang Fazley lagi, sesi persekolahan pelajar sekolah rendah harus ditangguhkan terlebih dahulu berbanding sekolah menengah yang punyai komitmen lebih besar seperti peperiksaan utama.
Dalam pada itu, ada juga pihak yang menzahirkan kebimbangan terhadap punca rezeki peniaga di kantin sekolah seandainya sesi persekolahan ditangguhkan lagi.
“Mati keringlah mak cik kantin,” komen salah seorang pengguna.
Namun, jawab Fazley; “Rezeki boleh dicari, nyawa Allah bagi sekali sahaja.”
Ruangan komen Instagram Fazley terus dihujani pelbagai komen dan pandangan mengenai risiko semasa pelajar di sekolah harian.
Sementara itu,
Pelajar Matrikulasi dibenar pulang mulai 9 Okt – KPM
Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sesi 2020/2021 dibenarkan untuk pulang bermalam pada cuti pertengahan Semester 1 bermula 9 Okt ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), KPM Adzman Talib berkata kementerian telah membuat ketetapan agar semua pelajar Kolej Matrikulasi Kedah, Kelantan dan Johor dibenarkan untuk pulang bermalam pada 9 hingga 17 Okt ini.
Adzman yang juga Timbalan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru berkata pelajar kolej matrikulasi di negeri lain pula dibenarkan pulang bermalam pada 10 hingga 18 Okt.
“KPM juga ingin memaklumkan bahawa mulai 9 Okt, ibu bapa dan waris dibenarkan memasuki premis kolej matrikulasi pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu dengan pelajar tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran ini tidak terpakai untuk pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam kawasan zon merah.
“Ibu bapa serta waris yang berada di kawasan zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu pelajar di kolej matrikulasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pelajar, ibu bapa dan waris perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu yang telah dikemas kini dan boleh dilihat melalui portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
Sebelum ini, aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam bagi pelajar kolej matrikulasi tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.
Sumber Gempak/Bernama
Be the first to comment