Selangor, KL dan Putrajaya dikenakan PKPB mulai tengah malam 14 Oktober, ini sebabnya kenapa dikenakan PKPB

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

Punca dikenakan PKPB

Ketetapan itu diambil oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara hari ini setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil kira peningkatan dan penularan kes Covid-19.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuatkuasa pukul 12.01 tengah malam 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020.

Sementara di Sabah, PKPB akan berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober 2020.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti Pergerakan keluar masuk, merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan. Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat.

Video pengumuman

 

Sementara itu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat akan dilaksanakan di Felda Umas, Tawau. Tindakan ini diambil selepas sidang khas hari ini mendengar cadangan daripada MKN Sabah mengenai terdapat kes positif COVID-19 di Felda Umas, Tawau, Sabah.

PKPD di Felda Umas akan berkuatkuasa pukul 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober.

“PKPD ini akan melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk di kawasan tersebut.

“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan,” kata Ismail Sabri dalam sidang media sebentar tadi.

SOP termasuk semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.

Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.

KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.

Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Menteri Selangor beri kenyataan

 

KENYATAAN MEDIA
12 Oktober 2020

Berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang membimbangkan, saya baru sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Petaling.

Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh YB Menteri Kanan Pertahanan sebentar tadi agak mengejutkan Kerajaan Negeri kerana keputusan mesyuarat tadi menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, secara konsensus Kerajaan Negeri melihat ada beberapa cadangan-cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan.

Kerajaan Negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.

Kerajaan Negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan ini agar sama -sama kita berjaya mengawal penularan wabak Covid-19. Kerajaan Negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana.

Semoga Allah S.W.T terus merahmati Selangor dan warganya.

 

Sumber fb mb selangor

Be the first to comment on "Selangor, KL dan Putrajaya dikenakan PKPB mulai tengah malam 14 Oktober, ini sebabnya kenapa dikenakan PKPB"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*