Keluhan rakyat didengari, akhirnya Tengku Zafrul umum boleh keluarkan akaun 1 KWSP pada belanjawan hari ini

Kuala Lumpur: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di Bangunan Parlimen, hari ini.

Ia adalah Belanjawan pertama dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional selepas pertukaran kerajaan pada Mac lalu. Kerajaan peruntuk RM322.5 bilion bagi Belanjawan 2021.

Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan hari ini berkata, daripada jumlah itu RM236.5 billion (73.3 peratus) akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 billion atau 21.4 peratus bagi perbelanjaan pembangunan (DE) manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang Covid-19.

“Peruntukan OE pada 2021 dianggarkan lebih tinggi iaitu RM236.5 bilion (15.1 peratus daripada KDNK). Jumlah ini meningkat sebanyak 4.3 peratus berbanding anggaran disemak RM226.7 bilion bagi tahun 2020,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, Emolumen kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 35.7 peratus daripada OE.

“Komponen tersebut dianggarkan meningkat kepada RM84.5 billion terutamanya berikutan kenaikan gaji tahunan penjawat awam. Bayaran persaraan dianggarkan meningkat dua peratus kepada RM27.6 billion iaitu mewakili 11.7 peratus daripada OE,” kata laporan itu.

Pada 2021, sebanyak RM39 billion diperuntukkan untuk bayaran hutang dan daripada jumlah tersebut 97.9 peratus ialah untuk pembayaran kupon atas hutang dalam negeri manakala bakinya untuk pinjaman luar pesisir.

Seiring dengan pemulihan ekonomi, peruntukan DE akan terus disalurkan untuk program dan projek dengan kesan penggandaan yang tinggi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memelihara kehidupan rakyat.

“Sebanyak RM69 billion diperuntukkan pada 2021 iaitu peningkatan 38 peratus berbanding 2020. Peruntukan yang lebih besar disediakan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta kualiti kehidupan dan persekitaran tempat tinggal yang lebih baik melalui pelaksanaan program dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam,” kata laporan itu.

Sebanyak RM67.3 billion daripada DE adalah peruntukan langsung manakala RM1.7 billion lagi berbentuk pinjaman kepada kerajaan negeri dan entiti kerajaan.

Bagi peruntukan mengikut sektor, sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu sebanyak 56.4 peratus daripada DE diikuti sektor sosial (26.7 peratus), keselamatan (11.2 peratus) dan pentadbiran am (5.7 peratus).

Peruntukan bagi sektor ekonomi yang berjumlah RM39 bilion berbanding RM28.5 bilion pada 2020 itu selari dengan usaha untuk memacu dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memberi fokus utama kepada pengangkutan, perdagangan dan perindustrian, tenaga dan projek berkaitan kemudahan awam.

“Subsektor pengangkutan menerima peruntukan terbesar iaitu 21.8 peratus daripada jumlah DE atau RM15 bilion bagi menambah baik, memperluas dan menyenggara lebuh raya, jalan, landasan kereta api, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang seperti projek pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru, Lebuhraya Pan Borneo, KVDT1, Sistem Transit Rapid serta peluasan Pelabuhan Kuantan dan lapangan terbang di Sandakan,” kata laporan itu.

Peruntukan bagi sektor sosial berjumlah RM18.4 bilion iaitu 26.7 peratus daripada jumlah DE merupakan komponen kedua terbesar DE dengan RM8.9 bilion disediakan bagi menyediakan fasiliti pendidikan yang lebih baik dan menaik taraf infrastruktur sekolah serta institusi pengajian tinggi dan latihan.

Subsektor kesihatan kekal sebagai subsektor utama dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion (6.8 peratus daripada jumlah DE) dengan fokus perbelanjaan di bawah subsektor ini bertujuan menambah baik sektor kesihatan dan menyediakan sistem penjagaan kesihatan negara yang efektif.

“Lebih banyak hospital dan klinik baharu akan dibina terutamanya di daerah kecil bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan mampu milik, saksama dan mudah akses,” kata laporan itu.

  • Skop pelepasan cukai diluaskan kepada RM1,000 bagi rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak.
  • Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan & anak juga dinaikkan kepada RM8,000 dari RM6,000Kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian one-off
  • RM500 setiap seorang bagi menghargai jasa 100,000 anggota barisan hadapan KKM
  • Pada 2020, kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk melaksanakan PKP, keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan Covid-19. Bagi Belanjawan 2021, kerajaan memeperuntukkan tambahan RM1 bilion dalam untuk membendung gelombang ketiga Covid-19
  • Belanjawan 2021 bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’
  • Belanjawan 2021 mempunyai tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Kerajaan benarkan keluar akaun satu KWSP sehingga RM,6,000

Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun satu secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Menurutnya, mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran akaun satu itu, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran akaun satu akan melibatkan RM4 bilion.

“Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Sumber Sinar/RJ

Be the first to comment on "Keluhan rakyat didengari, akhirnya Tengku Zafrul umum boleh keluarkan akaun 1 KWSP pada belanjawan hari ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*