Ramai berebut nak keluarkan duit KWSP, sekali Persara Ini Beritahu Kenapa Dia Tidak ‘Setuju’

KEPADA rakan-rakan sepencaruman, Isu pengeluaran duit caruman KWSP hangat dibincangkan dalam beberapa minggu ini. Semestinya, ramai ahli politik dan rakyat yang mahu supaya semua orang dibenarkan mengeluarkan duit caruman masing-masing. Saya faham ramai yang hidup susah sekarang. Cuma saya harap saya dapat ceritakan perspektif yang sedikit berbeza.

Saya adalah seorang pesara. Selepas lebih 40 tahun bekerja, hidup saya sekarang tenang-tenang sahaja. Saya tidak berniaga atau mencari kerja sampingan – hanya fokus baca akhbar, tonton televisyen dan layan anak cucu, seperti pesara-pesara yang lain.

Saya hidup selesa, tak susah tetapi tidak lah mewah. Bila saya bersara beberapa tahun dahulu, saya dan isteri buat keputusan untuk biarkan duit caruman saya dalam KWSP. Harapan kami agar duit caruman saya dapat bertambah-tambah dengan faedah yang konsisten dan selamat, daripada kami keluarkan dan letak dalam bank dengan faedah yang sangat rendah.

Pendek kata, saya dan isteri hidup dengan duit caruman dan faedah-faedah pelaburan caruman itu sahaja.

Saya sedar saya antara yang bertuah. Ramai rakyat Malaysia yang hidup susah sewaktu Covid-19 ini. Ada yang hilang kerja, ada yang dipotong gaji dan macam-macam lagi. Saudara-mara saya pun antara yang terkesan teruk dan saya cuba bantu setakat yang boleh.

Saya sangat bersetuju bahawa mereka ini yang dilanda kesempitan hidup perlu dibantu sehabis baik. Ada juga geng YB (Yang Bersara) saya yang bising-bising kenapa banyak sangat kerajaan bantu golongan-golongan sebegini, hampir langsung tak ada untuk golongan pesara.

Saya OK sahaja. Malah saya harap, jika mampu, kerajaan bantu lagi mereka-mereka ini yang hidup kesusahan. Cuma satu saja yang saya minta – fikir-fikirkan juga duit KWSP kami yang bersara ini.

Bagi saya, dan kemungkinan besar untuk majoriti pesara yang lain, duit yang kami carum dalam KWSP ini lah duit kami hidup dalam persaraan ini.

Mungkin saya hidup selesa dengan duit KWSP itu, tetapi ada juga pesara yang duit persaraan mereka hanya cukup-cukup untuk hidup sahaja.

Nasib baik faedah tahunan stabil, sekurang-kurangnya baki caruman mereka dapat bertambah apabila kos sara hidup meningkat setiap tahun.

Jangan salah anggap. Saya amat faham bila akaun dua (Akaun Pra-Persaraan) dibenarkan untuk pengeluaran. Saya amat faham bila akaun satu (Akaun Persaraan) dibenarkan pengeluaran untuk golongan yang hilang kerja. Sewaktu pengeluaran akaun satu diluaskan lagi tempoh hari kepada hampir dua juta orang, walaupun saya tak berpuas hati, tetapi saya faham.

Tetapi cukup-cukup lah itu. Fikir-fikirkan juga untuk pesara seperti kami. Kami mencarum bertahun-tahun untuk hari tua. Faedah pelaburan itu lah satu-satunya sumber pendapatan kami sekarang.

Beri Kesan Kepada Pencarum Lain Walapun Duit Sendiri

Saya tengok Facebook, ramai yang kata ‘Kalau saya keluarkan caruman saya, tak bagi kesan kepada orang lain pun?’

Maaf saudara, tetapi ia beri kesan besar kepada saya dan pencarum lain. Jika ramai yang keluarkan caruman persaraan, duit untuk KWSP labur pun berkurangan. Bila duit pelaburan KWSP berkurangan, risiko pelaburan pun naik mendadak sebab KWSP tidak dapat memperluaskan portfolio pelaburan.

Bila risiko pelaburan naik, faedah tahunan kepada pencarum akan turun mendadak. Ada juga di antara kami pesara yang melabur dalam pasaran saham – itu pun sudah pasti terjejas sepertimana yang kita lihat sehari selepas pengumuman i-Sinar.

Maaflah jika saya nampak macam pentingkan diri. Saya juga ada keluarga. Bagi pencarum yang betul-betul perlu, seperti yang hilang kerja, saya faham bila pengecualian ini diberi. Tetapi bila banyak lagi yang minta berikan pengecualian kepada semua pencarum, termasuk bagi mereka yang masih ada pekerjaan, yang terima banyak lagi bantuan-bantuan seperti Bantuan Prihatin, Subsidi Upah dan macam-macam lagi – itu sama sekali saya tak boleh setuju.

Saya faham ramai yang hidup dalam kesusahan. Dan saya bersetuju dengan apa-apa cara pun di mana kerajaan dapat meringankan beban anda. Kami golongan pesara mungkin tidak lah hidup susah seperti anda.

Tetapi kami telah bekerja dan mencarum berpuluh-puluh tahun dengan satu harapan sahaja – untuk menikmati akhir-akhir hayat kami bersama anak dan cucu dengan duit caruman dan faedah yang kami sepatutnya ada. Maka saya merayu satu sahaja, jangan hancurkan impian kami juga.

Sumber : Sinar Harian

Pakar Ekonomi Suruh Fikir Masak2 Sebelum Keluarkn Akaun 1 KWSP

Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP kepada golongan terjejas sememangnya paling dinantikan.

Bagaimanapun ramai juga yang berpendapat sekiranya individu tersebut tidak tergolong dalam kategori yang terdesak supaya tidak mengeluarkan wang tersebut agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya ketika bersara.

Sementara itu, pakar ekonomi berpendapat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Sinar dalam Akaun 1 lebih memanfaatkan pencarum dari pada kalangan M40 berbanding B40.

Meskipun ia tidak menjadi kesalahan untuk membuat pengeluaran tersebut, Prof Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata ia bukanlah langkah yang terbaik.

Golongan M40 lebih dapat manfaat

” Yang dapat faedahnya M40 bukan B40 sebab kumpulan B40 tak ada apa-apa yang dia boleh buat,” katanya merujuk kepada data KWSP dari wawancara bersama menteri kewangan di TV3 bahawa 42 peratus pencarum hanya mempunyai baki purata simpanan bawah RM5,000 di akaun 1 mereka.

” Jadi kumpulan M40 yang mungkin mempunyai simpanan yang agak besar.

” Jadi mereka boleh keluarkan sampai RM60,000. Tapi kebanyakan dalam kumpulan M40 pun akhirnya apabila bersara hanya mempunyai RM240,000 secara purata.

” Itu pun tak cukup sebenarnya untuk bersara dengan baik kerana kalau mereka nak bersara dengan RM5,000 sebulan mereka sebenarnya perlu ada baki KWSP sebanyak RM1 juta,” kata Barjoyai ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 16 Nov, KWSP memaklumkan pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam Akaun 1 akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Manakala bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke atas dalam Akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

Sebelum nak keluarkan, fikir dulu masak-masak

Barjoyai turut memberi gambaran bahawa nilai RM5,000 akan datang kemungkinan bersamaan dengan nilai RM2,000 hari ini, di mana pencarum sepatutnya memikirkan masak-masak sebelum memohon untuk pengeluaran.

Dia membuat perhitungan tersebut berdasarkan usia persaraan 60 tahun sehingga seseorang itu 75 tahun, iaitu purata jangka hayat rakyat Malaysia.

” Jadi maknanya, kumpulan pencarum ini perlu memikirkan perkara ini sebelum membuat ambilan (pengeluaran),” katanya.

Dia juga berkata, walaupun pencarum akan menggantikan jumlah pengeluaran tersebut pada masa akan datang, mereka sebenarnya masih akan hilang (jumlah caruman) kerana kesan pengganda ataupun dipanggil ‘compounding effect’.

Oleh itu katanya, setiap keluarga sebenarnya perlu memikirkan pendapatan selepas pencen ataupun pendapatan selepas bersara melalui “simpanan paksa” yang lain.

” Tapi KWSP adalah yang paling mudah dan berkesan..sebab itu ia perlu sebenarnya untuk memastikan yang dia (pencarum) memanfaatkan KWSP dalam proses mewujudkan satu jumlah pelaburan yang cukup untuk menampung hari tua mereka,” katanya.

Diminta mengulas mengenai jumlah simpanan yang sedikit disebabkan gaji yang rendah, katanya orang ramai dinasihatkan supaya menambah kemahiran lain sebagai alternatif menambah pendapatan.

Katanya, dianggarkan dalam masa lima tahun, pasaran buruh akan turut berubah sehingga 7 peratus tenaga kerja sedia ada tidak diperlukan lagi.

Harga saham turun

Sementara itu, Hoo Kee ping dari Institut Strategik Kingsley melihat keputusan KWSP itu merugikan kerana memberi implikasi kepada harga saham.

” Implikasinya kena faham harga saham akan turun, ini dah merugikan KWSP sebab nilai turun sekaligus.. memang tidak sihat,” katanya.

Namun, Hoo mencadangkan alternatif lain supaya kerajaan menawarkan bantuan pinjaman kewangan kepada individu atau sektor yang benar-benar memerlukan, seperti pinjaman jangka pendek.

” Yang terjejas paling teruk adalah pelancongan – 20,0000 pemandu pelancong, dan pemilik bas-bas pelancongan,” katanya yang mencadangkan supaya terdapat perbincangan secara kelompok bersama mereka.

” Bas pelancong saya rasa patut ditolong sebab bukan salah mereka (tiada pendapatan kerana bukan tak pandai jaga bisnes tapi cuma (terjejas teruk dengan) PKP.

” Jadi sektor ni perlu perhatian kerajaan untuk membincangkan dengan bank secara ‘blanket guarantee’,” katanya.

Sumber trending sangat

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*