Tular satu nota ditampal bila i-sinar KWSP bole dipohon, buat ramai rakyat tidak sabar

PETALING JAYA – Satu notis makluman berhubung tarikh permohonan skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 15 Disember 2020 tular di media sosial hari ini.

Notis itu dipercayai ditampal di salah sebuah pejabat cawangan KWSP, namun tiada sebarang makluman rasmi dikeluarkan KWSP berhubung perkara tersebut setakat pagi ini.

KWSP dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, ahli KWSP yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon program i-Sinar bermula pertengahan Disember ini.

Perincian itu merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji.

Orang ramai mula penuhi kaunter KWSP

Orang ramai sudah mula memenuhi kaunter-kaunter pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyemak akaun masing-masing bagi pengeluaran bantuan i-sinar.

Tinjauan Kosmo! di ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini mendapati ramai pemegang akaun datang untuk membuat semakan jumlah akaun mereka serta ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai i- Sinar.

Walaupun tarikh sebenar permohonan bagi pengeluaran i-Sinar masih belum diputuskan oleh kerajaan, namun orang ramai sudah mula membuat langkah awal bagi memastikan proses pengeluaran wang mereka berjalan lancar.

Seorang pengunjung, Wahidah Samad, 52, berkata, ternyata rakyat Malaysia memerlukan pengeluaran simpanan mereka di KWSP dan menyambut baik keputusan kerajaan yang telah membenarkan pengeluaran tersebut.

“Semalam saya sudah datang ke sini untuk urusan KWSP suami dan anak saya, hari ini nak uruskan semakan dan pembukaan i-akaun saya sendiri.

“Hari ini dan semalam memang ramai orang datang, nampaknya memang orang memerlukan wang ketika ini,” katanya

Netizen ucap terima kasih,bersyukur dapat keluar wang KWSP

Ucapan penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam memberikan kelegaan kepad ramai apabila program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan kepada 8 juta ahli.

Sambil membanjiri laman Facebook Tengku Zafrul, rata-rata menyatakan ucapan terima kasih dan bersyukur atas pindaan yang dibuat tersebut.

Seorang pengguna Facebook, Muhammad Azri Ab Ghaffar menyambut baik langkah itu, namun berharap syarat mengeluaran tidak begitu ketat.

“Sebab ada yang berniaga sendiri, tapi ada simpanan KWSP, jadi macam mana cara mereka nak tunjukkan bukti kalau tiada apa-apa catatan yang menunjukkan pendapatan terjejas,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhamamd Rizan Shahari turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Terima kasih kepada Najib Razak dan Tengku Zafrul kerana meluluskan i-Sinar kepada semua pencarum, memang ramai yang terkesan sebab ada yang (terpaksa) menambah pendapatan dengan pendapatan sampingan,” ujarnya.

Seorang lagi netizen, Hannah Hayyan pula berharap urusan pengeluaran wang dipermudahkan.

“Sebagaimana kita sedia maklum, rata-rata rakyat amat memerlukan. Tambahan pula ini adalah wang rakyat sendiri, kenapa perlu dipersulitkan sedangkan boleh dipermudahkan seperti i-Lestari. Harap dipertimbangkan,” katanya.

Program i-Sinar KWSP diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, atau telah terkurang pendapatan mereka tahun ini.

Pencarum boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP

Sumber Kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*