
BELUM reda misteri ketukan pintu di Sabak Bernam, Selangor, pada bulan lalu, kini khabar angin bertiup kencang mengenai kejadian itu berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka.
Menerusi satu mesej yang kini tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp, penduduk di beberapa kawasan di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak membuka pintu sekiranya terdapat ketukan sebanyak tujuh kali.
“Minta penduduk di sekitar kawasan Ampangan, Sikamat, Panchor, Taman Tasik Jaya untuk tidak membuka pintu jika diketuk tujuh kali.
“Ketukan misteri dari Sabak Bernam sudah ke Negeri Sembilan,” menurut dakwaan menerusi maklumat yang kini tular.
Maklumat tersebut turut mendakwa 25 penghuni kediaman di Taman Tasik Jaya di Seremban telah membuat aduan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di lokasi berkenaan.
“Betul ke bunyi ketuk-ketuk pintu sebanyak tujuh kali tu dah sampai Negeri Sembilan dan Melaka. Kalau dengar bunyi ketukan tu jangan buka tau,” tulis seorang pengguna Twitter menerusi satu ciapan, lewat Isnin malam.
Mesej yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun, kejadian misteri ketukan pintu itu dinafikan oleh Pengerusi KRT Taman Tasik Jaya, Abu Hassan Osman selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian, Abu Hassan dipetik sebagai berkata, penduduk di sekitar Taman Tasik Jaya tidak perlu bimbang kerana maklumat yang tular itu adalah tidak benar.
“Saya telah membuat pemeriksaan, memantau dan bertanya kepada semua penduduk di taman ini mengenai perkara tersebut, namun tidak ada yang kena kacau.
“Tiada pun orang ketuk pintu, misteri ketukan pintu tidak berlaku di taman ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengada-adakan cerita,” katanya.
Kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku
ABU HASSAN OSMAN
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduudk di sekitar taman tersebut supaya berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama.
“Walaupun ini adalah sekadar maklumat palsu yang ditularkan dan diada-adakan, namun kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya sambil menambah perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak polis namun tiada laporan polis dibuat.
Menurut Abu Hassan, beliau dan beberapa penduduk KRT membuat rondaan di kawasan Taman Tasik Jaya pada Isnin, namun tiada sebarang kejadian yang mencurigakan berlaku.
Ciapan yang tular di laman Twitter sejak Isnin.
Bulan lalu, kecoh mengenai misteri ketukan pintu yang kuat sehingga mengejutkan penghuni rumah di beberapa kampung sekitar Sabak Bernam.
Selepas 18 hari menghantui penduduk di daerah itu, misteri gangguan ketukan pintu rumah pada waktu malam berakhir apabila tiada lagi kes terbaharu dilaporkan berlaku.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan perkara itu sambil menambah pihaknya tetap melakukan kawalan rondaan di kampung dan taman perumahan meskipun gangguan itu telah berakhir.
Selepas ketukan misteri di Sabak Bernam, kejadian aneh itu turut dilaporkan menghantui penduduk di Alor Gajah, Melaka dan Klang, Selangor.
Lebih menyeramkan, ketukan misteri tanpa salam itu bukan lagi hanya berbunyi di pintu rumah, malah dilaporkan berlaku di pintu bilik tidur.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi berhubung perkara itu.
Mist3ri ketuk pintu berpindah ke Melaka. Sekali Lelaki ini berdiri betul2 depan pintu
Misteri bunyi ketukan pintu kediaman yang ‘berpindah’ dari Sabak Bernam, Selangor ke daerah ini sejak minggu lalu kian menggusarkan ramai penduduk.
Satu Video Dirakam ..
Keluarga ini berjaya merakam kejadian ketukan misteri di rumah kediaman mereka yang terletak di Alor Gajah, Melaka.
Video yang dimuat naik berdurasi 1 minit menunjukkan jelas kedengaran dan waktu itu semua lampu rumah terpasang.
Ketukan misteri tersebut sangat kuat sehingga menggegarkan pintu (sliding door) rumah keluarga tersebut.
Salah seorang ahli keluarga memberanikan diri untuk berdiri di depan pintu kaca tersebut dan memang tiada siapa pun berada di luar.
Anda nilaikan sendiri video di bawah:
‘Lembaga’ gemar ketuk pintu berpindah ke Alor Gajah Melaka
SAID Hassan menunjukkan bagaimana pintu luar bahagian hadapan kediamannya diketuk pada awal pagi di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Bekas Imam Masjid Tok Janggut, Masjid Tanah di sini, Said Hassan berkata, kediamannya di Kampung Paya Rumput di sini, turut diketuk dari luar dengan kuat hingga menyebabkan pintu kayunya itu hampir tertanggal.
Dalam kejadian jam 3 pagi semalam dia dan isteri, Maimunah Hashim, 65, serta seorang anak perempuan berusia 24 tahun sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat itu.
“Saya segera membaca beberapa ayat al-Quran khusus untuk menjauhkan gangguan jin dan syaitan. Usaha saya itu berjaya menghentikan ketukan kuat pada pintu kediaman.
“Saya hairan kerana tidak pernah pintu rumah diketuk pada waktu awal pagi,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.
Pesara kerajaan itu berkata, sejurus membaca surah berkenaan, bunyi ketukan itu tiba-tiba terhenti dan dia menggagahkan diri untuk membuka suis lampu anjung rumah.
Said berkata, dia dan isteri kehairanan berikutan tiada sesiapa di luar rumah sejurus daun pintu dibuka.
“Alhamdulillah, Allah SWT menjauhkan kami sekeluarga daripada bahaya. Kejadian ini benar-benar menimbulkan tanda tanya penduduk di kampung ini yang turut diganggu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Rumput, Azaman Abu Hassan berkata, anak kariah kampung itu sudah membaca surah Yassin beramai-ramai pada malam Jumaat lalu selepas beberapa kediaman penduduk diganggu ketukan yang sama bermula pagi Khamis lalu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tok Janggut berkata, majlis bacaan surah Yassin sememangnya diadakan pada setiap malam Jumaat.
“Alhamdulillah setakat ini kampung kami aman dan damai dan kami berdoa Allah SWT memelihara kami daripada bahaya,” katanya.
Be the first to comment