Misteri ketuk pintu makin ganas, pintu bilik pula yang diketuk

PELABUHAN KLANG: Selepas ketukan misteri menghantui penduduk di Sabak Bernam dan Alor Gajah, Melaka, kini ia mula ‘merebak’ ke Pandamaran Jaya di sini.

Jika sebelum ini misteri ketukan tanpa salam hanya berlaku di pintu utama rumah namun kini menyasarkan pintu bilik tidur.

Kejadian tersebut dialami penduduk di Jalan 4, Jalan 12, Jalan 78 dan beberapa jalan lain di Pandamaran Jaya di sini yang menjadi lokasi baharu misteri ketukan.

Menceritakan detik kejadian, seorang mangsa, Nor Hidayah Salehudin, 29, mendakwa, pintu bilik tidur di bahagian beranda luar menerima ketukan sebanyak dua kali pukul 2 pagi semalam.

Katanya, semasa kejadian dia tidur di tingkat atas manakala bapanya di bahagian bawah di dalam rumah teres dua tingkat tersebut.

“Ketukan kedua sangat kuat sehingga menyebabkan bulu roma saya meremang dan ini pertama kali berlaku gangguan seperti ini.

“Pada masa sama, saya terfikir insiden ketukan pernah berlaku di Sabak Bernam sebelum segera membuka bacaan ayat suci al-Quran,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya, ketukan itu membuatkannya tidak boleh tidur semalaman sebelum memaklumkan kepada bapanya yang tidak mendengari sebarang ketukan pada awal pagi itu.

Sementara, ibu kepada tiga anak, Aryana Rosli, 35, pula mendakwa menjadi sasaran ketukan sekitar pukul 1.40 pagi.

“Saya beranggapan hanya rumah ini sahaja diketuk rupanya banyak rumah turut mengalami insiden sama sehingga menjadi kecoh di laman sosial Facebook,” katanya.

Bagi Mohd. Shahrul Ridzwan Mohd. Sani, 29, dia memberanikan diri menyelak langsir rumah selepas menerima ketukan ketika dalam kejadian bermula pukul 1.15 pagi.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kelibat dengan pintu pagar berkunci rapat dengan mangga. Perkara ini sungguh pelik,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi menegaskan, setakat ini tiada laporan polis diterima berkenaan kejadian itu.

Misteri ketukan pintu beralih ke N. Sembilan.Penduduk dinasihat ‘jika diketuk 7 kali jgn buka’, ini jawab Rukun Tetangga

BELUM reda misteri ketukan pintu di Sabak Bernam, Selangor, pada bulan lalu, kini khabar angin bertiup kencang mengenai kejadian itu berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka.

Menerusi satu mesej yang kini tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp, penduduk di beberapa kawasan di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak membuka pintu sekiranya terdapat ketukan sebanyak tujuh kali.

“Minta penduduk di sekitar kawasan Ampangan, Sikamat, Panchor, Taman Tasik Jaya untuk tidak membuka pintu jika diketuk tujuh kali.

“Ketukan misteri dari Sabak Bernam sudah ke Negeri Sembilan,” menurut dakwaan menerusi maklumat yang kini tular.

Maklumat tersebut turut mendakwa 25 penghuni kediaman di Taman Tasik Jaya di Seremban telah membuat aduan kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di lokasi berkenaan.

“Betul ke bunyi ketuk-ketuk pintu sebanyak tujuh kali tu dah sampai Negeri Sembilan dan Melaka. Kalau dengar bunyi ketukan tu jangan buka tau,” tulis seorang pengguna Twitter menerusi satu ciapan, lewat Isnin malam.

Mesej yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, kejadian misteri ketukan pintu itu dinafikan oleh Pengerusi KRT Taman Tasik Jaya, Abu Hassan Osman selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Menurut laporan Sinar Harian, Abu Hassan dipetik sebagai berkata, penduduk di sekitar Taman Tasik Jaya tidak perlu bimbang kerana maklumat yang tular itu adalah tidak benar.

“Saya telah membuat pemeriksaan, memantau dan bertanya kepada semua penduduk di taman ini mengenai perkara tersebut, namun tidak ada yang kena kacau.

“Tiada pun orang ketuk pintu, misteri ketukan pintu tidak berlaku di taman ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengada-adakan cerita,” katanya.

Kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku
ABU HASSAN OSMAN

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduudk di sekitar taman tersebut supaya berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama.

“Walaupun ini adalah sekadar maklumat palsu yang ditularkan dan diada-adakan, namun kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa mengunci pintu rumah dan tingkap dengan kemas bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya sambil menambah perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak polis namun tiada laporan polis dibuat.

Menurut Abu Hassan, beliau dan beberapa penduduk KRT membuat rondaan di kawasan Taman Tasik Jaya pada Isnin, namun tiada sebarang kejadian yang mencurigakan berlaku.

Ciapan yang tular di laman Twitter sejak Isnin.

Bulan lalu, kecoh mengenai misteri ketukan pintu yang kuat sehingga mengejutkan penghuni rumah di beberapa kampung sekitar Sabak Bernam.

Selepas 18 hari menghantui penduduk di daerah itu, misteri gangguan ketukan pintu rumah pada waktu malam berakhir apabila tiada lagi kes terbaharu dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan perkara itu sambil menambah pihaknya tetap melakukan kawalan rondaan di kampung dan taman perumahan meskipun gangguan itu telah berakhir.

Selepas ketukan misteri di Sabak Bernam, kejadian aneh itu turut dilaporkan menghantui penduduk di Alor Gajah, Melaka dan Klang, Selangor.

Lebih menyeramkan, ketukan misteri tanpa salam itu bukan lagi hanya berbunyi di pintu rumah, malah dilaporkan berlaku di pintu bilik tidur.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi berhubung perkara itu.

Sumber utusan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*