
Sebelum popularnya laman penstriman dalam talian seperti Netflix dan aplikasi video YouTube, menonton slot Mega Movie setiap Jumaat malam di TV3 adalah perkara wajib dilakukan sebahagian besar daripada kita.
Slot ini yang bermula setiap jam 10 malam dan berakhir beberapa jam kemudian sering membawakan filem-filem terbaik daripada luar negara dan sesuai untuk dijadikan tontonan seisi keluarga.
Setanding Apple, Syarikat Anak Watan Ini Sedia Lancarkan Produk Secara ‘Virtual’ Dari Tampin
Bagaimanapun, jika ada merupakan salah seorang peminat tegar slot ini di TV3, pasti anda akan perasan bila tibanya jam 12 tengah malam, kita terpaksa memberi laluan kepada berita berbahasa Inggeris, Nightline selama 30 minit.
Sedih, kecewa dan marah adalah reaksi biasa setiap penonton bila filem yang sedang ditonton terpaksa dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada slot berita ini. Berita baiknya, perasaan itu sememangnya dilalui semua orang dan bukannya anda seorang sahaja.
Buktinya, baru-baru ini tular di media sosial perkongsian meme yang melucukan mengenai bagaimana slot Nightline ‘mengacau’ para penonton yang sedang asyik menonton Mega Movie yang ditayangkan.
MEME SLOT NIGHTLINE YANG ‘MENGACAU’ PENONTON DI TV3 TENGAH MALAM JUMAAT
Lihat saja meme berkenaan dan ia akan mengingatkan kembali kita dengan kenangan masa lalu (kekecewaan) kerana terpaksa menunggu selama setengah jam untuk menunggu filem yang sedang ditonton kembali bersambung.
Daripada Twitter sehinggalah ke Facebook, rata-rata netizen bersetuju dengan perkara berkenaan serta berkongsi gelak ketawa dan pengalaman masing-masing bagaimana slot berita itu suatu ketika dahulu pernah mengecewakan mereka semua di Jumaat malam.
Hos Nightline sendiri beri respons
Tambah menarik, perkongsian meme berkenaan yang tular dan dikongsikan di pelbagai platform media sosial itu turut mencuri tumpuan salah seorang hos Nightline yang sering membuat kemunculan di tengah-tengah malam sebelum ini.
Hos berkenaan, Raymond Goh dalam satu ciapan di Twitter berseloroh bersama para netizen dengan memberikan respon yang melucukan kepada meme berkenaan.
raymond goh
RAYMOND GOH, PEMBACA BERITA NIGHTLINE
“Hati-hati, saya akan membaca berita (lagi) malam ini,” tulisnya ringkas.
Walaupun ianya hanya beberapa patah perkataan, ciapan daripada pembaca berita yang dikenali ramai itu sudah cukup untuk menghiburkan netizen.
Buktinya, reply (yang diterima) daripada ciapan berkenaan rata-ratanya memberitahu mereka tidak menahan ketawa selepas membaca respon beliau dan meme yang tular itu sendiri.
Malah, salah seorang netizen yang meninggalkan komen di ciapan berkenaan turut berkongsikan tangkap layar daripada skrinnya bagaimana Twitter turut mengklasifikasikan ciapan berkenaan sebagai sesuatu yang lucu.
Walaupun slot berita itu sebelum ini sering ‘mengacau’ di tengah-tengah malam sewaktu kita sedang asyik menonton filem-filem yang ditayangkan, namun ianya tidak dapat dinafikan menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.
Mungkin jika tanpa gangguan daripada Nightline ini, kita semua tidak akan berbicara dan mengimbau kembali kenangan silam menonton TV bersama keluarga yang pernah menjadi suatu kebiasaan sebelum popularnya teknologi penstriman seperti hari ini. Terima kasih kepada TV3, Mega Movie dan tidak lupa juga Nightline yang pernah menghiburkan kita suatu ketika dahulu.
Berikut reaksi dari netizan
“Memang ngacau, dah la byk iklan. Last 2 Aku tertido depan TV sbb lama sgt cakap2. Taktik nak bagi penonton tidur awal
” Gara2 aku terlayan Nightline ni la aku jdi peminat anime “Bleach”…lepas hbis Nightline ..tibe…aikkk…ade anime…tgh2 mlm kluar anime kt TV3 masa tu…
“Kat RTM pun Dulu mcm ni jgk.. masa kecik2 kat tv1 tengok gambaq P. Ramlee bila pukul 10 berenti kena tengok Dunia Jam 10 pulakkk… Hanya yg kental mcm aku je boleh bertahan smpai habis berita… Hahahaha
Apa kata anda? Kongsikan bersama kami
sumber: thevocket
Be the first to comment