Ramai belum tahu Malaysia pernah ada darurat, ini sejarah pengisytiharan darurat di negara kita dan darurat yang paling diingati sehingga sekarang

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini memberi perkenan supaya pengumuman pengisytiharan darurat kesihatan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing.

Malaysia telah melalui beberapa kali pengisytiharan darurat semasa perang, kekacauan awam, krisis politik dan bencana alam.

Malaysiakini menyorot beberapa contoh perintah darurat yang diisytiharkan pada masa lalu.

Pemberontakan Komunis (1948-1960)

Tempoh darurat yang paling diingati membabitkan pemberontakan komunis atau Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA).

Ini menyebabkan British mengharamkan parti politik tertentu dan mereka yang disyaki terlibat dengan anasir komunis ditahan dan ini peperangan ini berlarutan sehingga pembentukan kerajaan Malaysia.

Pilihan raya umum pertama Tanah Melayu pada Ogos 1959 dan persidangan Parlimen pertama pada bulan September 1959 diadakan pada waktu darurat.

 

 

Konfrantasi (1964)

Pada 3 September 1964, kerajaan Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan darurat setelah berlaku pencerobohan oleh tentera Indonesia.

Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964 diluluskan oleh Parlimen yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat untuk membolehkan harta benda disita, aktiviti pencarian dan tangkapan.

Selain itu Peraturan Darurat (Perbicaraan Jenayah) 1964 digubal untuk mempercepat perbicaraan jenayah.

Sarawak (1966)

Kuala Lumpur meletakkan Sarawak dalam keadaan darurat pada 14 Sept 1966, dalam usaha menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri.

Parlimen menggubal Akta Darurat (Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Sarawak) 1966 yang memberikan kuasa mutlak kepada gabenor Sarawak dan kuasa untuk mengadakan Majlis Negri tanpa nasihat ketua menteri.

Apabila Majlis Negri bersidang pada 23 September 1966, undi tidak percaya diluluskan dan Kalong Ningkan disingkirkan sebagai ketua menteri.

 

Rusuhan 13 Mei (1969)

Rusuhan kaum berlaku selepas pilihan raya pada 10 Mei 1969. Darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969, ketika parlimen sudah dibubarkan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1, 1969 digubal oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan kuasa eksekutif dan perundangan kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran, seterusnya menggubal Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Parlimen baru disusun semula pada 20 Februari 1971 – hampir dua tahun selepas pilihan raya.

 

Kelantan (1977)

Darurat diisytiharkan pada 8 Nov 1977 akibat rusuhan politik di Kelantan setelah Mohamad Nasir enggan meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Parlimen kemudian meluluskan Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang memberikan kawalan eksekutif negeri ini kepada pengarah kerajaan yang dilantik oleh perdana menteri, manakala sultan, yang juga Agong pada masa itu, memegang kuasa perundangan.

Mohamad Nasir kekal sebagai menteri besar sehingga pilihan raya Kelantan pada 1978.

Darurat jerebu (1997, 2005 dan 2013)

Tidak semua keadaan darurat ada hubungan kait dengan kuasa perundangan atau eksekutif khas.

Pada tahun 1997, 2005 dan 2013, darurat diisytihar di wilayah tertentu di Sarawak, Selangor dan Johor ketika pencemaran udara mencapai status sangat tidak sihat.

Ini bagi memaksa orang ramai tinggal di rumah dan penutupan operasi sektor perkhidmatan awam dan swasta yang tidak penting.

 

Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 November.

Pengisytiharan itu sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik Covid-19.

Darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya (2020)

Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020.

Ini bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata baginda berpuas hati berhubung keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap dua kawasan berkenaan.

Darurat wabak Covid-19 di Malaysia (2021)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada 12 Januari 2021, memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di Malaysia sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 11 Januari 2021 melaporkan terdapat 2,232 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini kepada 138,224 kes.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah membangkitkan tahap wabak Covid-19 yang kian memburuk sejak tahun ini.

Noor Hisham membuat perbandingan terhadap kadar kematian antara tahun ini dengan tahun lalu, yang menurutnya amat membimbangkan.

“Untuk sembilan bulan pertama pada 2020, kes kematian kurang daripada 100. Pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari, kita sudah mencatatkan sebanyak 71 kes kematian Covid-19,” katanya.

Sumber Mskini

Be the first to comment on "Ramai belum tahu Malaysia pernah ada darurat, ini sejarah pengisytiharan darurat di negara kita dan darurat yang paling diingati sehingga sekarang"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*