48 ribu polis bertugas, cuti anggota keselamatan dibekukan demi PKP

Sejak jam 12 malam tadi, sekatan dan pemeriksaan pihak keselamatan sudah mulai dilakukan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP)2.0 yang bermula hari ini.

Oleh itu barisan petugas hadapan turut sama mengerah keringat berdiri di bahu-bahu jalan memastikan tiada sebarang perlanggaran PKP dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Berjuang demi negara tercinta

Jadi, menerusi laporan dari Bernama, seramai 48,000 anggota dan pegawai polis diarahkan bertugas dengan cuti buat semua anggota keselamatan dibekukan serta-merta.

Hal ini berikutan peningkatan yang agak mendadak pandemik Covid-19 di Malaysia sehingga pihak kerajaan terpaksa mengambil langkah mengenakan semula PKP di beberapa buah negeri di Malaysia serta PKPB dan PKPP di sebahagian lagi negeri.

Cuti dibekukan serta merta

Hal ini sudah tentu membuatkan mereka begitu letih memandangkan hampir setahun pandemik ini berlangsung dan senario ini terulang kembali apabila PKP 2.0 dilaksanakan semula disebabkan peningkatan kes.

Justeru itu, pengorbanan yang mereka lakukan ini merupakan satu tanggungjawab yang harus dihargai oleh rakyat Malaysia dengan terus mematuhi standard operating procedure(SOP) agar penularan wabak tidak terus berlaku.

PKP 2.0: SJR dipergiatkan seperti PKP 1.0

KUALA LUMPUR: Sekatan jalan raya (SJR) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara akan diadakan kembali, seperti yang pernah dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan SJR kali ini lebih tegas dengan pasukan PDRM akan menjadi barisan hadapan dengan dibantu pihak tentera bagi memastikan usaha mengekang pandemik COVID-19 berjaya.

“Sekatan jalan raya akan kembali seperti dulu dan kini di semua kawasan termasuk yang terletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Walaupun pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia) mempunyai kuasa yang sama dengan pihak polis (untuk mengadakan sekatan jalan raya sekiranya perlu) di bawah ordinan darurat yang baharu, tetapi kita (ATM) telah bersetuju bahawa kita hanya akan membantu sahaja,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.

SJR akan bermula ditingkatkan tengah malam ini.

Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara akan melakukan tiga SJR dan empat penutupan jalan bagi daerah berkenaan. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tiga SJR adalah di Lebuhraya Selat Klang Utara di hadapan Pusat beli belah AEON Bukit Raja; Plaza Tol Bukit Raja (arah Klang ke Shah Alam) dan Batu 10 Jalan Kapar (dari arah Kuala Selangor ke Klang).

Di JOHOR, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 51 SJR diadakan di seluruh negeri ini melibatkan penugasan seramai 1,040 pegawai dan anggota polis dan menurutnya penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP juga akan diperhebat lagi.

Di PERAK, Ketua Polis Negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, 16 SJR akan didirikan di sempadan negeri bermula tengah malam ini dan 352 pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan di seluruh negeri bagi memastikan PKPB yang dilaksanakan di Perak dipatuhi.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, 39 SJR akan dijalankan membabitkan 1,142 anggota polis, tentera, Jabatan Sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sepanjang tempoh pelaksanaan PKP di negeri berkenaan. “Selain menjalankan pemeriksaan di kawasan SJR turut dilaksanakan pemantauan di premis-premis termasuk kawasan tumpuan pelancong dan rekreasi,” katanya.

Di TAWAU, polis melaksanakan sembilan sekatan jalan raya Op COVID-19 berikutan PKP di seluruh Sabah dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas turut mengingatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan atau tanpa alasan yang dibenarkan. Mulai tengah malam ini SJR akan dilakukan di Kilometer 50 Check Point; Jalan Tiku; Batu 2 1/2 Jalan Apas; Jalan Kuhara; Jalan Tawau Lama; Jalan Tanjung Batu; Jalan Utara; Simpang Jambatan Putih dan Road Chek Point (RCP) di Jalan Kalabakan.

Di TERENGGANU, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, lima SJR termasuk di bahagian sempadan akan dilakukan berikutan PKPB di negeri itu. “Kita ada 544 pegawai dan anggota untuk menjalankan SJR dan rondaan di semua tempat termasuk kawasan kampung. “Saya amat berharap semua pihak dapat memahami tujuan sekatan ini dan patuhilah SOP yang telah ditetapkan,” katanya dan menambah tiga lokasi SJR di Kemaman iaitu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Besut, melibatkan Pachakan dan Tok Saboh.

Di PAHANG, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, jumlah anggota bagi penugasan SJR mencukupi meskipun kini ramai anggotanya yang berkhidmat di lapangan akibat banjir melanda sembilan daerah di negeri itu. Beliau berkata, kawalan di sempadan negeri juga akan diperhebatkan selain lokasi SJR dijangka melibatkan lebih daripada 20 kawasan.

Di NEGERI SEMBILAN, 17 SJR di seluruh negeri itu akan dilaksanakan, antaranya di jalan Lubok China/Melaka, Sungai Lui/Pahang, Tampin/Melaka dan Port Dickson/Sepang serta di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di tol Pedas, tol Seremban/Labu, tol Nilai/Plus, tol Pajam/Mantin dan tol Setul/Lekas. Ketua Polis Negeri Sembilan.

Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, untuk tujuan itu, seramai 150 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan mengawal laluan keluar masuk ke negeri ini dengan dibantu seramai 140 anggota ATM serta 60 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal pula dalam satu kenyataan memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan melaksanakan tujuh penutupan jalan di beberapa kawasan pentadbirannya sehingga PKP ditamatkan.

Lokasi terlibat ialah jalan 4/56 Gasing Indah, Petaling Jaya; Jalan Persiaran Mahogani, Kota Damansara; Jalan Persiaran Jati, Kota Damansara; dan Jalan Persiaran Sungai Buloh, Kota Damansara; Lampu Isyarat PJU 8/1 Damansara Perdana; susur keluar Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana; dan laluan masuk tol Damansara ke Bayu Putri.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus berada di rumah serta mematuhi PKP agar jaringan wabak COVID-19 dapat diputuskan,” katanya dalam kenyataan. – Bernama

Sumber: Foto Bernama, Irfan Newboys

Be the first to comment on "48 ribu polis bertugas, cuti anggota keselamatan dibekukan demi PKP"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*