
BERKONGSI aktiviti amal dan kebajikan di media sosial adakalanya akan menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan pengikut sehinggakan ada yang menganggap anda hanya membuat kebaikan untuk menunjuk-nunjuk atau tujuan publisiti semata-mata.
Serba tak kena jadinya! Buat baik salah di mata netizen, buat jahat apatah lagi. Begitulah senario di dunia siber pada masa kini.
Bagaimanapun, tanggapan buruk orang ramai tidak menjadi penghalang buat seorang pemuda untuk terus berkongsi kebaikan dan amalan baik yang dilakukannya di media sosial.
“Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain,” tulis pemuda itu pada video yang dikongsi di akaun TikTok Hasif Hamzi.
Dalam video yang dikongsi, dia dilihat turun dari kereta Lamborghini miliknya dan ‘memborong’ makanan yang dijual di tepi-tepi jalan, sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.
Video tersebut tular dan mendapat lebih 49,000 likes dan 2,000 komen.
Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Hasif Hamzi, 27, berkata dia tidak peduli apa orang lain kata asalkan dia tahu niatnya untuk membantu golongan yang memerlukan itu ikhlas.
“Saya bukan nak menunjuk-nunjuk sebenarnya. Saya cuma nak buka mata masyarakat yang golongan peniaga kecil ini pun susah dan mereka ini antara yang sangat terkesan dengan PKP.
“Kebanyakan orang di luar sana akan tolong orang yang betul-betul susah. Ya bagus, tetapi kita kena sedar juga yang peniaga kecil ini hilang terus sumber pendapatan waktu PKP ini,” ujarnya.
Muhammad Hasif yang mesra disapa Hasif berkata, sebagai usahawan dia sangat memahami kesusahan yang dirasakan peniaga-peniaga kecil apabila PKP dilaksanakan semula.
Atas alasan itu juga dia tidak teragak-agak untuk singgah di beberapa gerai di Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur pada Selasa untuk ‘memborong’ aneka makanan yang dijual.
Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Hasif yang mempunyai perniagaan sendiri dengan menjual air dan cookies jenama Chanrakter berkata ejen-ejen di bawahnya juga berniaga dengan membuka gerai di tepi jalan dan dia sedar bukan mudah untuk mereka melariskan produk ketika pandemik Covid-19.
“Sambil beli makanan dan minuman untuk diri saya sendiri, tak sampai hati pula tengok mereka, sebab bila bermula PKP pendapatan mesti terjejas.
“Saya pun kongsi rezeki dengan membeli makanan yang mereka jual untuk disedekahkan kepada sesiapa yang datang untuk beli.
“Dah 5 tahun saya berniaga, dari jual produk orang, lepas tu borong barang dari luar negara untuk jual sampailah sekarang keluarkan produk sendiri, saya memang faham sangat kesusahan berniaga ini macam mana,” katanya.
Tanpa mahu menghiraukan komen-komen negatif daripada orang ramai, Hasif berharap dia akan dapat membantu lebih ramai orang dengan rezeki yang diberikan kepadanya.
“Ilmu dan rezeki yang saya ada saya tak akan pernah lupa untuk kongsi bersama mereka yang memerlukan.
“Saya harap video saya ini akan membuka mata dan hati lebih ramai orang untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya tak kisah pun janji saya tahu niat saya ikhlas. Biasalah dalam sepuluh komen positif mesti ada terselit satu dua yang negatif,” katanya.
https://www.instagram.com/p/CKDPmTWJFok/?utm_source=ig_embed
Sumber Mstar
Be the first to comment