Peniaga terkejut, dah lama jual set jenazah tiba-tiba order masuk tak berhenti, siap ade pesanan supaya bungkus cantik2

VIDEO-video di aplikasi TikTok sering mendapat perhatian ramai disebabkan kandungannya yang lebih kreatif, unik dan ‘gila-gila’.

Jika sebelum ini video yang tular kebanyakannya lucu, sedih, dan menyuntik inspirasi tetapi lain pula dengan satu perkongsian ini.

Baru-baru ini tular di TikTok sebuah video ringkas yang dimuatnaik oleh seorang penjual set jenazah dengan berkongsi tangkapan skrin perbualan bersama pelanggannya.

Ketika dihubungi mStar, Ahmad Kamarulnizam Majid yang berasal dari Felcra Lekir, Setiawan Perak berkata dia sangat terkejut apabila posting yang dianggap biasa itu boleh tular sehingga ramai yang menghantar mesej kepadanya untuk membuat tempahan.

Katanya, dia sudah enam tahun menjual set jenazah di pelbagai platform termasuk di laman sosial lain tetapi sambutan yang diterima kali ini cukup luar biasa.

“Dah enam tahun saya jual di website, Facebook dan Instagram belum pernah lagi tempahan masuk tak berhenti macam ini.

“Padahal video saya itu biasa sangat. Saya niat cuma nak kongsi feedback pelanggan je. Tak sangka sampai viral, ” katanya ketika ditemubual.

Ahmad Kamarulnizam, 40, yang mempunyai tiga cahaya mata ini berkata dia pernah menerima tempahan dalam kuantiti banyak tetapi dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang ingin memberi sumbangan ‘pakaian terakhir’ manusia ini, kebanyakannya kepada golongan asnaf.

Bercerita lanjut Ahmad Kamarulnizam berkata ramai masih kurang sedar bahawa set jenazah ini sangat penting disediakan lebih awal bagi memudahkan dan membantu ahli keluarga kita melancarkan urusan pengebumian apabila tiba ajal.

“Mati itu pasti, tua itu belum pasti, ” katanya, ringkas.

Ahmad Kamarulnizam mengakui sebelum ini dia menganggap TikTok hanya sekadar platform hiburan dan lebih diminati oleh anak muda.

Kamarul sebagai usahawan Felcra bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Apa yang lebih mengejutkan, dia mendedahkan ramai yang membeli set jenazah ini untuk dihadiahkan kepada diri sendiri sempena sambutan hari ulang tahun masing-masing.

“Tak kira muda atau tua, ramai yang beli set ini untuk diri sendiri.

“Ada yang minta saya balut set jenazah ini cantik-cantik sebelum pos kepada mereka.

“Alhamdulillah, selepas video ni tular, ramai yang tinggalkan komen insaf mengingati hari kematian menunjukkan mereka sudah terdetik sedikit kesedaran dalam diri, ” katanya.

Dia berpandangan, tidak timbul masalah untuk set jenazah ini boleh dijual di mana-mana lokasi atau platform online asalkan ia diniagakan dengan cara yang betul.

Sumber Mstar

Be the first to comment on "Peniaga terkejut, dah lama jual set jenazah tiba-tiba order masuk tak berhenti, siap ade pesanan supaya bungkus cantik2"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*