
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi, akan dilaksanakan sekiranya kes penularan COVID-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari.
Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada ahlinya.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali sewaktu mesyuarat bersama EuroCham.
“Beliau memberitahu bahawa, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pendirian jelas tentang penutupan sepenuhnya ekonomi.
“Sebanyak 99 kluster COVID-19 di Malaysia adalah berkait dengan sektor pembuatan, dan pihak KKM percaya sektor itu punca utama kepada jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan.
EuroCham berkata, sektor pembinaan juga turut disebut menjadi antara punca penularan, namun perkara itu hanya dibincangkan secara ringkas memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa MITI.
“MITI merayu kepada semua syarikat asing dan tempatan untuk bersama-sama berusaha mengurangkan dan memutuskan rantaian jangkitan demi memastikan ekonomi terus dibuka untuk perniagaan.”
Selain itu, syarikat juga dituntut menyediakan ruang kuarantin asas di asrama bagi memastikan kes di bawah pemantauan, kontak rapat dan kes positif boleh diasingkan.
EuroCham berkata, syarikat juga perlu memastikan jumlah pekerja dalam setiap kenderaan pekerja adalah di bawah 50 peratus kapasiti bagi memastikan penjarakan fizikal.
4,427 rekod tertinggi kes sembuh Covid-19, 11 kematian
Kuala Lumpur: Sebanyak 4,427 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, sekali gus menjadi jumlah sembuh harian tertinggi sejak wabak itu melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 141,446 kes.
Bagaimanapun, katanya, kes baharu jangkitan Covid-19 terus mencatat empat digit dengan 3,346 kes, menjadikan jumlah kumulatif mencecah 183,801 kes dengan 41,677 kes aktif.
“Daripada jumlah itu, tujuh kes import dan 3,339 kes membabitkan penularan tempatan.
“Seramai 265 pesakit Covid-19 menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 102 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, daripada maklumat terkini dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), terdapat 11 kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.
Katanya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian meningkat kepada 678 kes iaitu 0.37 peratus.
sumber : Awani
Be the first to comment