
Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan dijangka mengumumkan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat Isnin depan, menurut sumber yang rapat dengan perbincangan tersebut.
Tambah sumber Astro AWANI itu, perbincangan masih dijalankan bagi mencari jalan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan peruntukan bagi pengeluaran tanpa syarat.
“MoF (Kementerian Kewangan) nyatakan veto untuk menyokong pelaksanaan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat. KWSP sedang berbincang tentang jumlah sebenar pengeluaran i-Sinar tanpa syarat.
“Perkiraan awal mendapati, KWSP jangkakan memerlukan RM108 bilion berbanding RM55 bilion jika i-Sinar bersyarat,” kata sumber itu lagi.
Sumber berkenaan turut memaklumkan, mesyuarat KWSP kini tertumpu kepada struktur pembayaran termasuk sekiranya ia dibayar secara bersekali.
“Jika dibuat bayaran sekali, KWSP perlu menarik beberapa pelaburan di luar negara untuk menyokong proses pembayaran itu,” kata sumber tersebut.
Astro AWANI dimaklumkan, KWSP juga sedang meneliti pelaburan yang boleh ditarik kembali bagi menjayakan i-Sinar.
Sementara itu, sumber yang sama menafikan dakwaan kononnya pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif KWSP adalah disebabkan tidak selari dengan hasrat MoF.
Astro AWANI sedang menghubungi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk mendapatkan pengesahan.
i-Sinar: Tengku Zafrul jamin kerajaan segera lakukan penambahbaikan
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan kerajaan akan segera melakukan penambahbaikan terhadap aduan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, kerajaan ambil maklum akan keresahan rakyat yang mahu menggunakan kemudahan pengeluaran KWSP.
“Pihak kerajaan sentiasa peka dengan keluhan dan isi hati rakyat tentang pelbagai inisiatif seperti i-Sinar.
“Suara anda didengari dan penambahbaikan akan dilakukan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Beberapa pemimpin politik daripada kerajaan dan juga pembangkang mendesak kerajaan supaya memudahkan proses pengeluaran simpanan KWSP untuk meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19.
Pada Disember tahun lalu, KWSP mengumumkan dua kategori yang layak untuk melakukan kemudahan pengeluaran simpanan membabitkan lapan juta ahlinya yang layak melalui skim i-Sinar.
Pengeluaran kategori satu melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Kriteria bagi kategori satu adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.
Bagi kategori dua pula, ia diperuntukkan bagi pemohon yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020.
Pencarum yang memohon dalam kategori satu diberikan kelulusan secara automatik tanpa sebarang dokumen sokongan manakala pemohon kategori dua pula perlu memberi dokumen sokongan slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan.
Pada Rabu, KWSP mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya yang akan berkuatkuasa pada 1 Mac ini.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menggantikan Tunku Alizakri Alias yang mengetuai KWSP sejak Ogos 2018.
Sumber kosmo
Be the first to comment