Empat tahun guna gelaran Datuk, Boy Iman terkejut gelaran ditarik dan beri satu kenyataan yang tidak disangka-sangka

Perkhabaran mengenai penarikan balik Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ daripada Boy Iman ternyata menyebabkan pelakon dan usahawan berkenaan terkejut.

Menurut Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, walaupun dimaklumkan gelarannya sudah ditarik balik, dia mendakwa masih belum menerima surat rasmi daripada Istana Pahang berhubung perkara tersebut.

“Tuan punya badan pun belum tahu secara rasmi. Saya hanya mengetahui mengenainya daripada media. Sebagai penerima, rasanya saya layak tahu apakah sebabnya pingat itu ditarik balik,” ujarnya kepada pihak mStar Online.

Boy menganggap berita tersebut memberi impak negatif ke atas imej dan reputasinya. Bagaimanapun, ia turut membuktikan dia ‘menerima’ gelaran itu secara sah, bukanlah seperti dicanang sebelum ini yang mendakwa dia membeli gelaran tersebut.

“Sebenarnya kalau benar atau tidak benar pun, ia sudah mencetuskan satu imej atau gambaran yang tidak baik.
“Tapi, di sudut yang lain pula ia membuktikan yang saya menerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang itu daripada Istana Pahang bukan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini saya adalah ‘datuk di pagar’ atau beli,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah usahawan berusia 40 tahun itu lagi, walau apa pun keputusan yang telah dibuat, dia menerima dengan hati terbuka.

Selain Boy Iman, seorang lagi pelakon turut menerima nasib sama iaitu Farid Kamil yang menjelaskan dia menerima keputusan berkenaan tanpa sebarang persoalan.

Istana Pahang tarik gelaran Datuk Farid Kamil dan Boy Iman

ANUGERAH Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon dan pengarah, Farid Kamil serta Boy Iman telah ditarik balik berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pendaftar Darjah, Setiausaha Kerajaan Pahang, kedua-dua selebriti itu tidak lagi dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan.

Farid dan Boy Iman atau nama sebenarnya, Noruliman A Rahman juga perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang.

Istana Pahang mengurniakan darjah berkenaan bergelar Datuk kepada Farid pada 16 Disember 2017 manakala Boy Iman pada 24 Mei tahun sama.

Kedua-dua gelaran selebriti ini ditarik balik dipercayai disebabkan kedua-duanya pernah mempunyai kes mahkamah.

Boy Iman diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020 berikutan kegagalan melunaskan tuntutan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun lalu

Pada 2017, Boy Iman yang juga Pengarah Urusan DBI Properties bersama tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources ditahan reman enam kali bagi membantu siasatan membabitkan penipuan jualan rumah bernilai RM6.8 juta.

Mereka pernah direman di balai polis Ampang, Shah Alam, Selangor, Muar, Johor, Sungai Petani, Kubang Pasu, Kedah dan Kangar, Perlis.

Sementara itu, Farid dijatuhi hukuman 13 bulan penjara bagi sabitan kes menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis dan empat bulan penjara bagi sabitan kes mengeluarkan perkataan tidak sopan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019

Sumber: mStar Online (Ali Toupan Rajalee)

Be the first to comment on "Empat tahun guna gelaran Datuk, Boy Iman terkejut gelaran ditarik dan beri satu kenyataan yang tidak disangka-sangka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*