
HAMPIR setahun pemergian pelakon Ashraf Sinclair, isterinya yang juga penyanyi Bunga Citra Lestari berkongsi detik-detik terakhir sebelum suami tercinta disahkan meninggal dunia.
Semasa menemui Ashraf tidak sedarkan diri, Bunga berkata firasatnya kuat mengatakan bahawa suaminya itu sudah tiada, namun dia dan anaknya Noah Sinclair tetap berkeras mahu membawa ke hospital.
“Seorang teman saya telefon dan saya kata macam Ashraf dah tiada… Noah kata Mummy jangan cakap begitu! Kita tak tahu jadi kita terus ke hospital.
“Noah tanya… hospital boleh tolong tak? Saya kata kalau masih boleh, mesti boleh. Sampai di hospital, doktor juga lihat saya dan kata dia tak ada, tapi mereka mahu terus cuba (beri pertolongan),” katanya.
Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkongsi mengenai perjalanan terakhir arwah suaminya itu menerusi saluran YouTube miliknya It’s Me BCL pada Sabtu.
Penyanyi lagu Cinta Sejati ini ditemubual oleh Daniel Mananta dan rakaman itu dimuat naik dalam beberapa siri program diberi judul #LoveStory di laman tersebut.
Selepas doktor memaklumkan Ashraf tidak dapat diselamatkan, Bunga berkata dia menerima berita kematian itu dengan hati terbuka.
“Saya dah tahu! Saya dapat rasakan semasa menemui Ashraf di tempat tidur saya sudah tahu. Di dalam fikiran saya cuma berkata… kalau awak nak pergi, pergilah saya baik-baik sahaja.
“Jika itu terbaik untuk dia pergilah! Sampai di hospital, terus doktor kata… sudah tiada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bunga berkata perkara paling mencabar apabila perlu memberitahu Noah mengenai pemergian bapanya itu.
“Saya pergi ke anak saya, saya tak menangis! Saya cuma kata… Noah daddy dah tak ada. Saya minta maaf, tak ada apa yang boleh kita buat, mereka dah cuba.
“Dia tanya… jadi siapa yang akan teman mummy kalau mummy ada business trip lagi, kalau daddy dah tak ada? Itulah perkataan pertama yang difikirkan.
“Dia tahu ini akan terjadi tapi mungkin tak menyangka berlaku dalam waktu yang dia masih kecil,” katanya yang mengakui kehidupannya berubah dalam sekelip mata.
Pada 18 Februari lalu, Ashraf, 41, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia kira-kira pukul 4 pagi kerana serangan jantung.
Ashraf meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.
10 bulan pemergian Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari ditanya adakah bakal kahwin lagi? – “Setiap hari menangis dan sekarang masih menangis lagi…”
SELEPAS 10 bulan pemergian pelakon Ashraf Sinclair, isterinya iaitu Bunga Citra Lestari mengakui perasaan rindu terhadap arwah suami masih belum hilang.
Menurut laporan Hot Detik, Bunga berkata dia memerlukan waktu untuk mengubat kerinduan dan mencari semangat baharu selepas pemergian insan tersayang itu.
“Dari awal saya perlukan terapi, konsultasi untuk memulihkan diri, setiap hari menangis dan sekarang masih menangis lagi… tapi sekarang ini sudah boleh beraktiviti kembali.
“Selepas keluarkan lagu (12Tahun Terindah) itu, lima enam bulan kemudian baru saya boleh melakukan sesuatu,” katanya semasa ditemubual oleh Maia Estianty dalam saluran YouTube.
Dalam program tersebut, Maia turut bertanya kepada Bunga sama ada dia sudah bersedia untuk mencari pengganti dan kembali bergelar seorang isteri.
“Kamu ada keinginan untuk bernikah lagi tak?” tanya Maia.
“Sekarang?” jawab Bunga sambil memberi reaksi tubuh dengan menggelengkan kepala.
“Belum ya? Belum! Tak apa, yang penting kami berjaya dan semangat ya!” kata Maia.
Pada 18 Februari lalu, Ashraf, 41, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia kira-kira pukul 4 pagi kerana serangan jantung.
Ashraf meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.
Sumber Mstar
Be the first to comment