
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikekalkan di negeri Selangor, WP Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
“Sidang khas hari ini bersetuju untuk mengekalkan status PKP di Selangor, WP Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.
PKP kali ini akan berkuatkuasa dari 19 Februari 2021 sehingga 4 Mac 2021.
PKP DI WP KUALA LUMPUR, SELANGOR, JOHOR & PULAU PINANG DILANJUTKAN SEHINGGA 4 MAC 2021 pic.twitter.com/IChkq7NnCY
— MAJLIS KESELAMATAN NEGARA (@MKNJPM) February 16, 2021
Rentas negeri masih tidak dibenarkan lagi.
Dato Ismail Sabri menegaskan rentas negeri masih belum dibenarkan kerana sebelum ini banyak kluster melibatkan rentas negeri sehingga 65%.
Sekatan jalan raya pula adalah mengikut pihak PDRM. Lokasi-lokasi akan diberitahu kelak.
Vaksin Covid-19 selamat, tiada mikrocip – Dr Rohaizat
Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon menegaskan vaksin Covid-19 adalah selamat dan tidak mengandungi mikrocip yang akan mengawal minda manusia.
Menjawab persoalan berhubung teori konspirasi yang mendakwa vaksin berkenaan mengandungi mikrocip, Dr Rohaizat berkata, kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin terbukti selamat dan berkesan.
“mRNA adalah sangat kecil, kita tidak boleh memasukkan mikrocip di dalamnya dan juga ia tidak berinteraksi dengan genom manusia,” katanya dalam rancangan Bernama TV’s Mid-day Update dikendalikan oleh Jessy Chahal, hari ini.
Justeru, beliau menggesa agar masyarakat mempercayai mesej rasmi atau maklumat daripada laman rasmi kerajaan serta kajian literatur yang boleh dipercayai berkaitan vaksin.
Beliau berkata, orang ramai boleh merujuk kepada Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengandungi maklumat antaranya mengenai jenis-jenis vaksin Covid-19 digunakan oleh kerajaan, kemudahan penyimpanan vaksin serta pandangan sudut keagamaan mengenai panduan vaksin dan imunisasi.
Buku panduan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Dr Rohaizat juga menegaskan bahawa vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan.
“Setakat ini, kajian daripada negara-negara lain menunjukkan vaksin ini selamat. Sepanjang yang kita ketahui, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura mendahului kita (pelaksanaan program imunisasi), oleh itu Malaysia boleh mempelajari dan mengkaji semula prestasi, kekurangan dan pencapaian mereka,” katanya.
Malaysia terima vaksin Pfizer-BioNTech lebih awal
Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal iaitu pada 21 Februari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setibanya vaksin Covid-19 itu, akan bermula pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa pertama pada 26 Februari.
“Fasa pertama akan membabitkan saya sendiri bersama petugas barisan hadapan bermula hari berkenaan sehingga April.
“Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos yang membabitkan kumpulan berisiko tinggi manakala fasa ketiga yang membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei 2021 sehingga Febuari 2022,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, program imunisasi menyeluruh itu bertujuan memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 sekaligus menamatkan pandemik itu.
Tambah beliau, program berkenaan akan memberi impak positif kepada seluruh negara terutama pembukaan semula sektor ekonomi dan pelancongan.
“Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh diamalkan tetapi dengan mengamalkan normal baharu.
“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19. Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru masyarakat supaya tidak mengambil mudah dan segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin itu.
“Ingatkan saudara-mara dan rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu ditetapkan untuk dos pertama dan juga dos kedua, kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang disayangi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Sumber Hmetro
Be the first to comment