
ALOR SETAR – Seorang pelajar sebuah kolej swasta tertekan dan terpaksa menanggung malu selepas gambarnya disalah guna di aplikasi Sugarbook.
Remaja berusia 19 tahun dari Kota Sarang Semut di sini mendakwa, dia kerap menangis setiap kali memikirkan perkara itu yang turut memberi kesan emosi kepada ibu bapanya.
Menurut mangsa, dia mengetahui perkara itu daripada seorang rakannya pada pukul 11.17 malam, Selasa lalu.
“Tangkap layar akaun Sugarbook itu dimuat naik ke dalam akaun Facebook Biar Jasa Jadi Kenangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Remaja itu mendakwa, dia terkejut sebaik dimaklumkan perkara tersebut.
Pada mulanya, mangsa mahu mendiamkan diri kerana bimbang ibu bapanya susah hati.
“Saya juga perlu menduduki peperiksaan pada pagi semalam (kelmarin), namun bapa saya mengetahuinya daripada rakan-rakannya,” katanya.
Dia menjelaskan tidak tahu menahu tentang akaun Sugarbook itu sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
Jelas anak kedua daripada lapan beradik itu, gambar itu dimuat naik di Instagramnya, namun disalah guna pihak lain dalam aplikasi tidak bermoral tersebut.
“Walaupun tak buat, namun saya tertekan kerana ia melibatkan perasaan ibu bapa yang malu dengan penyebaran gambar saya di Facebook,” katanya.
Sementara itu, bapa remaja tersebut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat yang sewenang-wenangnya menggunakan gambar anaknya yang sama sekali tidak terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mad Akhir mengesahkan menerima laporan dan kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Pengasas Sugarbook dibebaskan tanpa reman.
Pengasas aplikasi Sugarbook bebas selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan reman terhadap suspek bagi membantu siasatan berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral itu bagi mencari ‘sugar daddy’.
Penolakan permohonan reman terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat.
Lelaki tersebut diwakili tiga peguam iaitu Foong Cheng Leong, T. Shashi Devan dan Low Li Qun.
Alasan penolakan difahamkan disebabkan lelaki itu bersedia bekerjasama dalam siasatan dilakukan oleh pihak polis.
Shashi Devan ketika ditemui Kosmo! memaklumkan hujahnya dalam prosiding tersebut adalah keperluan reman itu tidak diperlukan berikutan semua maklumat boleh diperolehi menerusi aplikasi tersebut di dalam talian.
“Tambahan, aplikasi tersebut juga telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ( SKMM) dan tidak memerlukan reman,” jelasnya.
Terdahulu suspek yang memakai baju kemeja berwarna biru tiba di pekarangan kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 10.10 pagi dengan bergari dan dikawal anggota polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, penangkapan suspek beralamat di Pulau Pinang itu dilakukan pukul 4.30 petang semalam di pekarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
“Setakat ini, sebanyak 74 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes tersebut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 372 (1) (d) / 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.
Aplikasi berkenaan menyatakan kebanyakan ‘sugar baby’ dari Malaysia terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
Sumber Kosmo
Be the first to comment