Jurugambar berpeluh demi photoshoot ‘Awek Mekanik’, model pula maintain cun! – “Nak tengok skrin kamera pun tak nampak”

SEKADAR mencari kelainan, seorang pelajar perempuan tampil dengan hasil photoshoot memukau, dengan tema ‘Awek Mekanik’ yang menggunakan rakannya sendiri sebagai model.

Malah, hasil-hasil gambar yang dipersembahkan dalam bentuk kompilasi video turut menjadi tular sehingga meraih hampir 100,000 tontonan.

Menurut Aina Muhaimin Roslan, 20, idea asal diutarakan oleh model photoshoot berkenaan, Noor Nadia Abd Samat, 22, yang juga rakan baiknya.

“Dia merupakan senior sekolah saya. Kami dah berkawan hampir empat tahun. Memang rapat, macam adik-beradik.

“Mula-mula dia kata nak shoot kereta Perodua Kancil miliknya. Kemudian saya kata, kita cuba buat ala-ala mekanik perempuan. Dia sendiri yang jadi model.

“Kami shoot pada Isnin lepas dalam pukul 12.30 tengah hari. Memang panas dan berpeluh. Nak tengok skrin kamera pun tak nampak masa tu,” ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Aina, dia mendedahkan sesi photoshoot di Sungkai, Perak itu dilaksanakan dalam tempoh singkat sahaja.

Namun, dia berpuas hati dengan hasil yang diperolehi dan sedang merancang sesi photoshoot seterusnya dengan tema ‘Perempuan Melayu Terakhir’ dengan rakannya itu.

“Kami sebenarnya dah biasa keluar seharian, cari tempat-tempat cantik untuk shoot. Saya puas hati bila tengok hasil gambar-gambar tu..

“Lepas ni kami rancang nak shoot di sungai, nak buat tema ‘Perempuan Melayu Terakhir’ tak lama lagi,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Menurut penuntut bidang Foto Media Kreatif di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu, dia juga bersyukur apabila perkongsian bakat di aplikasi TikTok membuka pintu rezeki buatnya.

“Saya minat main kamera sejak Tingkatan 6 lagi. Saya juga ada buat part time sebagai jurugambar, untuk tampung duit belanja pengajian.

“Sebenarnya dari TikTok pun ada saya dapat pelanggan. Rasa lega juga bila ada pendapatan sendiri, kos pengajian saya banyak nak kena guna duit.

“Kita kena guna platform tu sebaik mungkin. Mungkin ada yang pandang negatif pada TikTok, pada saya ia bergantung kepada diri sendiri.

“Kita perlu gunakan media sosial untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain,” ujarnya yang bercita-cita membuka studio foto suatu hari nanti.

Menurut Aina lagi, dia juga bersyukur apabila hasil karya yang dikongsi menerima maklum balas positif.

Malah, ramai netizen di TikTok turut memuji hasil karya Aina, tak kurang juga yang memuji kejelitaan rupa paras rakannya itu.

Tambahnya, dia juga terbuka untuk berkongsi kemahiran jika ada mana-mana individu yang bertanyakan mengenai bidang fotografi menerusi media sosial miliknya.

“Ramai sebenarnya yang tanya. Saya pun terbuka untuk berkongsi apa yang saya tahu.

“Pada saya, kalau minat, kita cuba je. Tak semestinya kena beli kamera mahal-mahal.

“Boleh mulakan dengan telefon. Kita cari ilmu dulu, baru fikir untuk beli kamera,” ujarnya lagi.

Sumber Mstar

Be the first to comment on "Jurugambar berpeluh demi photoshoot ‘Awek Mekanik’, model pula maintain cun! – “Nak tengok skrin kamera pun tak nampak”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*