
GARA-GARA hanya menggunakan bahasa Inggeris pada setiap video yang dimuat naik di YouTube, Mia Sara dikritik dan dianggap bangga diri dengan kebolehannya berbahasa itu.
Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan bagaimanapun mengakui dia lebih selesa bertutur dalam bahasa tersebut dan berharap pendiriannya dihormati.
“Saya lebih memilih untuk bercakap dalam bahasa Inggeris setiap kali saya buat video di YouTube. Jadi, jangan datang dekat saya dan beritahu ‘tak boleh bahasa Inggeris’ atau ‘bodoh orang Melayu tapi cakap bahasa pelik-pelik’.
“Bahasa Melayu… orang Melayu saja faham. Memang penonton saya seratus peratus Melayu? Eh ada ramai orang yang tak faham bahasa Melayu!” tulis Mia di Twitter miliknya.
Rata-rata netizen turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan menganggap penggunaan bahasa Inggeris pelakon drama Adamaya itu juga dapat membantu anak muda memperlajari struktur ayat yang betul.
“Sama! Saya lebih selesa dengan bahasa Inggeris tapi sedih apabila mengetahui ramai orang kecam kalau kita berbahasa Inggeris daripada Melayu dalam kehidupan harian. Semua orang bebas untuk bercakap dalam apa saja bahasa.
“Saya setuju dengan apa yang awak katakan. Bukannya awak tak cakap Melayu pun bila berkomunikasi dengan orang dekat luar. Dengan cara ini kita dapat improve Inggeris kita. Bila lagi kita nak fasihkan bahasa Inggeris kalau kita tak berlatih.
“Saya sangat bersetuju dengan Mia. Mungkin ianya bagus buat anak muda yang mahu memahami isi video selain boleh menambah vocab, dan mempelajari struktur ayat dalam bahasa Inggeris,” komen beberapa netizen.
Bagaimanapun terdapat segelintir netizen mencadangkan supaya pelakon itu meletakkan sari kata bahasa Melayu dalam video tersebut agar lebih mudah difahami.
Membalas komen tersebut, Mia menjelaskan jadual yang terlalu padat membuatkan dia tidak mempunyai banyak masa melakukan suntingan untuk video tersebut.
“Boleh tapi suntingan lama dan saya sibuk… jadi, saya tak boleh habiskan masa dengan melakukan suntingan untuk video saya sendiri. Saya tidak mempunyai penyunting,” ujarnya.
Isu penggunaan bahasa Inggeris masih menjadi perbualan hangat netizen sejak pelakon dan pengacara Adibah Noor menegur sebutan selebriti, personaliti media sosial dan tokoh politik.
Terbaharu, tindakan keterlaluan seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak, Yusuf Shukri mentertawakan kemampuan berbahasa Inggeris seorang guru yang juga tenaga pengajar di saluran DidikTV dikecam netizen.
Video terbaru Mia Sara,
Video Lain,
Sebelum ini isu mengenai buka tudung,
‘Buka tudung, no way!’ – Mia Sara
Pelakon remaja, Mia Sara Nasuha, 16, mendedahkan masih ada syarikat produksi memintanya membuka tudung, sedangkan dirinya sudah berhijab sejak lima tahun lalu.
Atas faktor berkenaan, Mia Sara berkata, dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan hingga menyebabkan ramai beranggapan dirinya sudah tidak aktif dalam lakonan.
“Nak suruh saya buka tudung, tak mungkin akan berlaku. Saya lebih rela tidak berlakon daripada membuka tudung demi memenuhi permintaan mereka.
“Saya akui, tawaran lakonan semakin berkurangan sejak mula mengenakan hijab. Ia tidak lebat seperti suatu ketika dahulu. Baru-baru ini pun masih ada tawaran yang meminta saya membuka tudung selepas diberitahu mengenai watak yang ditawarkan.
“Bukan sekali, ia berlaku berkali-kali, lebih lagi pada peringkat awal saya bertudung. Sebab itu jugalah saya banyak tolak tawaran lakonan. Ia bukan sebab saya tak mahu berlakon,” katanya kepada BH Online.
Dedah Mia, memberikan watak tidak bertudung kepadanya umpama memintanya menanggalkan hijab.
“Oleh sebab terima banyak tawaran watak tidak bertudung, jadi saya jarang kelihatan di kaca televisyen (TV) sekarang ini. Apabila kurang berlakon, timbul pula andaian saya sudah tidak berminat berlakon lagi dan mahu fokus pada pelajaran.
“Saya minta sangat pihak luar menghormati pendirian saya yang sudah bertudung. Saya pakai tudung bukan atas paksaan sesiapa, ia hadir atas kerelaan hati,” katanya.
Mia berkata, perkara itu juga membuatkannya hilang keyakinan diri untuk kembali aktif berlakon. Bagaimanapun, tetap bersyukur tawaran masih ada dalam industri lakonan.
“Saya mula berlakon semula, tahun lalu. Disebabkan itu, saya cuba mendapatkan kehidupan lama. Bagaimanapun, apabila ditawarkan watak tidak bertudung, jujurnya saya mula hilang keyakinan diri.
“Saya reda dan tak pernah ralat dengan keputusan berhijrah ini. Saya bersyukur walaupun kurang tawaran lakonan, tetapi sentiasa ada rezeki lain yang datang,” katanya.
Sumber Mstar
Be the first to comment