Dua org penting negara akan terima suntikan pertama vaksin pada rabu ini

Sepang: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya membuat keputusan memulakan fasa pertama program imunisasi itu lebih awal berbanding yang dijadualkan pada 26 Februari.

“Kami buat keputusan permulaan program imunisasi COVID-19 diawalkan pada Rabu, 24 Februari dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan vaksin pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, di sini hari ini.

Turut akan menerima suntikan bersama-sama Muhyiddin dan Dr Noor Hisham pada Rabu ini adalah petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan bukan kesihatan, katanya

Vaksin diring ketat

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata, bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terbabit dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain pembabitan aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Menurutnya, sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

“Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.

“PDRM mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik dan cawangan khas akan terbabit dalam penugasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azri berkata, selain terbabit dalam penugasan mengiringi kesemua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik dan juga balai polis bergerak.

Beliau berkata, PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini adalah tugasan yang sangat penting, kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada keperluan untuk jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat, serta tiada keperluan juga untuk melakukan penutupan jalan,” katanya.

KUMPULAN pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dibawa keluar oleh petugas MasCargo dari Pesawat Airbus 330-300 MAS selepas tiba di KLIA. FOTO ihsan RTM

Vaksin disimpan di 16 lokasi seluruh negara

Kuala Lumpur: Kumpulan pertama membabitkan 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa menggunakan pesawat khas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, penghantaran kumpulan kedua vaksin berkenaan pula akan diterima pada 26 Februari ini.

“Kita akan menerima penghantaran seterusnya setiap dua minggu sehingga menerima jumlah keseluruhan tempahan daripada Pfizer dan tidak termasuk vaksin lain.

“Ini adalah detik bersejarah bagi kita apabila vaksin ini sudah sampai dan kita boleh buat persediaan awal bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan vaksin berkenaan, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, kumpulan vaksin berkenaan akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin di seluruh negara melalui kenderaan darat.

“Ada sebahagian vaksin akan dihantar ke Johor dan dijangka tiba jam 2 petang ini serta ke Pulau Pinang melalui pesawat yang dijangka tiba jam 6 petang ini.

“Kami tidak boleh mendedahkan 16 lokasi itu yang membabitkan Johor, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur atas faktor keselamatan,” katanya.

Kumpulan pertama vaksin berkenaan yang tiba kira-kira jam 10 pagi tadi disambut oleh Khairy bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pesawat MH604 yang membawa vaksin berkenaan dihias dengan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin itu adalah untuk rakyat Malaysia.

Penghantaran vaksin berkenaan dikendalikan oleh MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Sebaik mendarat, pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik syarikat logistik, DHL Express di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

Sumber Hmetro

Be the first to comment on "Dua org penting negara akan terima suntikan pertama vaksin pada rabu ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*