Mulai esok rentas antara negeri PKPP dibenarkan

KERAJAAN hari ini mengumumkan kebenaran pergerakan pelancongan dari negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke PKPP yang lain berkuat kuasa Rabu (10 Mac 2021).

Hal itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa petang.

Namun katanya, terdapat beberapa syarat dalam pergerakan itu yang mana ia tidak terpakai kepada individu secara persendirian.

“Syarat pertama, kena guna perkhidmatan syarikat pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac). Kedua, kena guna kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan Motac.

“Seterusnya, pergerakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan. Hanya syarikat pelancongan yang mendapat kebenaran PDRM dibenarkan melakukan pergerakan ini.

“Syarat lain, perjalanan mestilah terus dari negeri PKPP ke PKPP. Jika terpaksa melalui negeri PKP Bersyarat (PKPB), perjalanan perlu diteruskan tanpa berhenti di kawasan PKPB,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, Ismail Sabri mengumumkan Langkawi akan bertukar status menjadi PKPP, juga bermula esok.

Ia susulan pulau pelancongan itu yang kini berada dalam zon hijau dan hanya merekodkan dua kes terakhir pada 20 Februari lalu.

“Jadi, kebenaran gelembung pelancongan bersasar domestik turut terpakai untuk Langkawi, tetapi Kedah masih kekal PKPB,” ujarnya.

Sebelum ini,

Rentas antara dua negeri zon hijau dalam pertimbangan

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan rentas antara dua negeri zon hijau yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu kini dalam perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu perlu diperincikan lagi sebelum sebarang pengumuman dilakukan bagi mengelak risiko.

“Dalam perbincangan… mana-mana negeri yang sama-sama zon hijau mungkin boleh melakukan perjalanan rentas negeri,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, antara perkara yang perlu diperincikan adalah membabitkan soal pergerakan antara dua negeri dalam PKPP yang perlu melintasi negeri dalam fasa PKP Bersyarat (PKPB).

“Contohnya Putrajaya zon hijau ke Melaka yang juga zon hijau perlu melalui Negeri Sembilan yang berada dalam PKPB, ada orang kata boleh pergi dengan syarat jangan berhenti di Negeri Sembilan.

“Namun dari segi pemantauannya bukan mudah kerana sukar untuk ditentukan dengan jelas, jadi ini perkara yang sedang diperincikan lagi,” katanya.

Sumber Bharian

 

Be the first to comment on "Mulai esok rentas antara negeri PKPP dibenarkan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*