
KEMUNCULAN Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman di kaca televisyen dalam slot berita di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), benar-benar membuatkan ramai yang teruja.
Baginda tampil mencemar duli membuat kemunculan istimewa di slot Berita Perdana Khas, pukul 8.00 malam tadi, sempena sambutan ulang tahun RTM ke-75.
Baginda tampil kira-kira 15 minit dalam slot terbabit bagi menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara.
Ini adalah kemunculan kali pertama baginda di kaca televisyen selepas ditabalkan menjadikan Permaisuri Selangor, lima tahun lalu.
Tengku Permaisuri Norashikin melangsungkan majlis pernikahan bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 31 Ogos 2016 di Masjid Diraja Istana Alam Shah Klang.
Antara komen netizen selepas menonton kemunculan baginda di kaca televisyen.
Sungguhpun sudah lima tahun tidak muncul sebagai pembaca berita, namun aura serta penampilan baginda masih anggun dan dianggap ‘legenda’ dalam dunia penyiaran.
“Antara legenda dalam dunia penyiaran, berada di kelas tersendiri. Penampilan istimewa baginda cukup elegan dan masih berbisa.
“Antara penyampai berita ‘legend’ di RTM yang lama dan bertahan di RTM. Sejujurnya saya memang minat cara Tengku Permaisuri Selangor sewaktu baca berita dulu.
“Idola untuk semua pelapis,” demikian antara komen netizen.
Video
Dalam perkembangan lain KISAH permulaan hidup Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan penulisan yang cukup indah dalam buku bertajuk, My first year journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience.
Buku mewah setebal 133 muka surat itu adalah nukilan kakak baginda sendiri, Datin Dr Norely Abdul Rahman dan dijual pada harga RM160 senaskah yang sebahagian hasil pembelian itu akan disalurkan kepada kempen Stray Free Selangor bagi membantu haiwan jalanan.
Tengku Permaisuri Norashikin adalah Penaung Diraja bagi kempen berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor sejak 2017.
Buku berbahasa Inggeris itu dilancarkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam,
Norashikin Dikenali Dengan Sifat Ramah, Rendah Diri
Personaliti televisyen, Norashikin Abdul Rahman yang diijabkabul dengan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terkenal dengan sifat ramah dan rendah diri.
Rakan-rakannya medianya amat gembira dengan berita pernikahan pasangan diraja ini dan mendoakan agar mereka sentiasa bahagia.
Bekas rakan sekerja, Mohd Ishahrulddin Md Tahir, 30, berkata beliau mengenali Norashikin sejak 2009, ketika menjadi pelatih di RTM.
“Saya melihat Norashikin membaca berita di televisyen sejak saya masih muda. Apabila bertemu dengannya buat kali pertama, saya terkejut kerana beliau begitu mesra walaupun berpangkat senior,” katanya ketika dihubungi, Jumaat.
Ishahrulddin berkata Norashikin sangat profesional di tempat kerja dan akan berkongsi maklumat dengan semua kakitangan, termasuklah pekerja bawahan.
“Beliau banyak mengajar saya semasa saya berada di RTM. Saya amat gembira dengan perkhabaran ini dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.
Ishahrulddin berkata walaupun bertubuh kecil, Norashikin sangat cergas dan gemar mendaki, dengan yang terkini menawan Gunung Bromo di Jawa Timur, Indonesia.
“Jika kita melihatnya, mungkin ramai yang tak tahu bahawa beliau sangat meminati bidang sukan dan baru-baru ini kami pergi mendaki Gunung Bromo bersama-sama,” katanya.
Seorang editor kanan di RTM, yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau baharu sahaja bertemu Norashikin bulan lalu di studio.
“Beliau seorang yang lemah lembut. Pasukan kami tahu bahawa beliau adalah seorang yang mesra dan senang bergaul dengan semua orang.
“Ramai yang sedar bahawa beliau mempunyai senyuman yang manis,” kata beliau.
Seorang lagi rakan sekerja yang tidak mahu dikenali berkata banyak yang telah dipelajari daripada Norashikin.
“Perkataan pertama yang terlintas di fikiran tentang beliau adalah sikap suka membantu. Jika anda perlukan sebarang bantuan, anda boleh mendekatinya.
“Beliau akan membimbing dan mengajar anda. Saya akan sentiasa mengingatinya,” katanya.
Sumber Mstar
Be the first to comment