Muhyiddin Dedah Rupanya Ada Pihak Kurang Senang Tuntutan Tidak Dilayan, Termasuk Urusan Mahkamah Utk Bebaskan Beberapa Individu




PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa terdapat pihak yang kurang senang dengan ketegasan beliau untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung, pada Rabu.

Muhyiddin berkata, beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memaklumkan kepadanya terdapat lapan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya telah menyembah maklum kepada baginda bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau menyedari kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan.

“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September ini,” katanya.

Melalui cara itu katanya, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial.

Ia susulan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu, bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh baginda, sedangkan pembatalan belum lagi diperkenankan.

Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.

Semasa sesi menghadap tersebut, Baginda menitahkan tidak berkenan untuk menandatangani permohonan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita selepas Takiyuddin tidak menuruti titah Baginda malah memberi kenyataan bercanggah dan tidak tepat dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021.

Susulan itu, Umno pada Selasa sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

Muhyiddin kekal sebagai PM bergabung dengan Pejuang, Warisan?

Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri jika ura-ura bahawa Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) bergabung dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi kenyataan.

Berdasarkan kepada analisis pemerhati politik gabungan ahli Parlimen tiga parti itu bersama dengan pecahan ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong tindakan Presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mampu mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menurut mereka, berdasarkan kedudukan terkini kerusi Parlimen Pakatan Nasional (PN) masih ada 103 kerusi iaitu Bersatu (31), Pas (18), Star (1), PBS (1), serpihan UMNO (26), MCA (2), MIC (1), PBRS (1), GPS 18 dan bebas (4).

Gabungan ini kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah iaitu 111 kerusi daripada 222.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya ada 92 kerusi iaitu PKR (35), DAP (42), Amanah (11), PSB (2), Muda (1) dan bebas (1). Mereka memerlukan 19 kerusi untuk dapat majoriti mudah,

UMNO yang masih bersama Ahmad Zahid pula dikatakan hanya ada 12 kerusi.

Sementara gabungan Bersatu, Warisan dan UPKO mempunyai 13 kerusi.

Berdasarkan kepada angka-angka ini, kem Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan bakal menjadi penentu dalam membentuk kerajaan.

Jika PN bergabung dengan kem Dr. Mahathir, maka mereka akan mempunyai 116 kerusi untuk membolehkan membentuk kerajaan,.

Jika PH bergabung dengan UMNO yang bersama Ahmad Zahid mereka hanya ada 104 kerusi gagal mempunyai majoriti mudah.

Jika PH mahu membentuk kerajaan mereka bukan sahaja perlu bergabung dengan UMNO (Ahmad Zahid) tetapi juga dengan kem Tun Mahathir.

Berdasarkan analisa ini kem Dr. Mahathir jelas menjadi penentu kepada percaturan untuk membentuk semula kerajaan selepas PN hilang majoriti ekoran tindakan Ahmad Zahid bersama 11 ahli Parlimen UMNO menghentikan sokongan kepada kerajaan.

PAS tetap teguh bersama Muhyiddin, PN

Malaysiakini

Ketika situasi politik negara penuh dengan tanda tanya, PAS bagaimanapun kekal tenang dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu memandang serius perkembangan terkini kemelut politik yang sedang berlaku dalam kerajaan.

Bagaimanapun, jelasnya sebarang kenyataan mengenai pendirian PAS terhadap kemelut ini hanya akan dikeluarkan oleh Presiden Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan sahaja.

“Ketika ini, PAS menegaskan untuk terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bersama-sama memberi tumpuan bagi menangani penularan wabak Covid-19 melalui strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang digerakkan kerajaan.

“PAS juga akan terus komited untuk membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini.

“Justeru, diharapkan seluruh rakyat Malaysia bersabar dan memberikan kerjasama ke arah usaha menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, keabsahan majoriti kerajaan PN menjadi tanda tanya selepas Umno membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap kerajaan dan Muhyiddin.

Sumber Sinar/Utusan/Mskini

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*