(VIDEO) Limpahan Air Deras Gunung Jerai ‘Angkat’ Kereta Penduduk




Lebih 10 buah rumah di Taman Lembah Merbok, Tupah di sini turut terjejas akibat limpahan air deras yang dipercayai turun dari Gunung Jerai dekat sini petang ini.

Penduduk yang juga Imam Masjid Al Busyra Merbok, Mohd. Firdaus Mat Akhir memberitahu, aliran air Sungai Tupah semakin laju pada pukul 4 petang sebelum melimpah ke kawasan perumahan tersebut.

“Lebih 10 buah rumah yang terjejas terletak berhampiran Sungai Tupah dan air deras melimpah sehingga beberapa buah kereta beralih daripada kedudukan asalnya.

“Selain itu, banyak kayu balak dan serpihan papan rumah yang dihanyutkan air dapat dilihat di kawasan sekitar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Video) Fenomena Kepala Air, Banjir Kilat Landa Kawasan Sekitar Yan Dan Merbok, Kedah

Jarak taman perumahan tersebut dengan Gunung Jerai adalah kira-kira lima kilometer.

Tambahnya, kawasan yang dinaiki air termasuk jalan sehingga paras paha sudah surut, namun aliran air sungai masih deras.

“Rumah saya bagaimanapun tidak terlibat dalam kejadian ini kerana terletak agak jauh dari sungai selain berada di kawasan lebih tinggi,” jelasnya.

Kejadian limpahan air deras dari Gunung Jerai itu menyebabkan beberapa kawasan terletak berhampiran gunung tersebut terjejas termasuk Tupah, Kampung Perigi di Yan dekat sini dan kawasan Gurun.

Beberapa kampung di kaki Gunung Jerai dilanda banjir

Penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah di sini dilanda banjir kilat berikutan kejadian limpahan air deras dipercayai akibat kejadian kepala air dari beberapa kawasan peranginan air terjun di kaki Gunung Jerai di sini pada petang ini.

Kebanyakan kampung terlibat terletak berdekatan dengan beberapa sungai di kaki Gunung Jerai di sini.

Antara kawasan peranginan air terjun itu ialah Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

Penduduk, Zamzurina Ab. Rahman, 45, berkata, dia yang berada di rumah terdengar bunyi deruan air yang kuat dari kawasan peranginan Seri Perigi di sini kira-kira pukul 3.30 petang.

“Saya terus ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah saya dan mendapati berlaku limpahan air akibat kepala air yang turun dari air terjun.

“Keadaan air deras yang turun dari kawasan air terjun itu sangat menakutkan yang mana air turut melimpah ke beberapa rumah dan chalet berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kejadian kepala air itu menyebabkan kawasan peranginan tersebut dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak.

Menurut Zamzurina, kalangan penduduk bimbang air dari kawasan air terjun itu akan melimpah lagi kerana hujan masih lebat.

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, keadaan yang berlaku sangat teruk dan beliau masih tidak mempunyai maklumat jumlah rumah yang terjejas selain sama ada berlaku kemalangan jiwa atau tidak.

“Keadaan hujan masih lebat dan ada maklumat yang saya terima beberapa rumah terletak berhampiran sungai turut dinaiki air,” katanya

Sumber Kosmo

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*