Boleh rentas negeri tetapi perlu patuh SOP

Kuala Lumpur: Kelonggaran pergerakan wajar diberi memandangkan negara sudah mencapai liputan imunisasi yang tinggi iaitu mencecah 60 peratus populasi dewasa.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan kelonggaran bagi perjalanan rentas negeri dan aktiviti pelancongan.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran itu perlu terhad dalam kalangan individu yang sudah menerima suntikan vaksinasi lengkap.

“Kalau nak rentas negeri kerana mahu pulang ke kampung untuk menziarahi orang tua bolehlah, tapi pastikan orang tua kita juga sudah divaksinasi.

“Ini kerana risiko untuk dia menjangkiti ahli keluarga yang belum divaksin itu masih ada. Sekarang ini liputan imunisasi sudah tinggi jadi tiada sebab lagi untuk seseorang itu tidak mendapat vaksin.

“Namun aktiviti sosial seperti penganjuran majlis atau kenduri yang membabitkan orang ramai berkumpul perlu dielakkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerajaan dijangka memberi lebih banyak kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perbincangan berhubung kelonggaran SOP giat dibuat, bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

Beliau juga dilaporkan berkata, kerajaan akan meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri yang masih merekodkan liputan bawah paras 60 peratus.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan memberi kelonggaran bagi aktiviti pelancongan tertentu, namun dengan SOP yang ditetapkan.

Katanya, individu lengkap vaksin perlu terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka di tempat awam dan menjaga jarak fizikal, maka kes baharu tidak akan meningkat.

Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi – Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengesahkan perkara itu menjelaskan perbincangan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) giat dibuat, bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

Selain itu, katanya, kerajaan bertekad untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri-negeri tertentu yang masih merekodkan liputan di bawah paras 60 peratus seperti Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

“Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan.

“Ia akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi.

“Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi.

“Ada beberapa negeri yang nilai ambang vaksinasi masih rendah, justeru menjelang September semua negeri akan capai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus,” katanya pada sidang media, hari ini.

Berdasarkan perangkaaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, Sabah mencatatkan liputan vaksin dos lengkap dalam kalangan individu dewasa paling rendah, iaitu 41.5 peratus berbanding paras kebangsaan 65.9 peratus.

Kadar kedua terendah ialah Kelantan dengan 47.6 peratus, disusuli Kedah (47.9 peratus), Perak (48.9 peratus), Johor (50 peratus), Terengganu (52.7 peratus), Pahang (52.9 peratus) dan Pulau Pinang (59 peratus).

Purata kes dalam tempoh tujuh hari setakat semalam bagi Sabah pula ialah kedua tertinggi selepas Selangor, iaitu 2,570 kes manakala kadar insiden berada pada paras 62.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

Statistik berhubung aspek sama bagi Johor, Kedah, Pulau Pinang, Kelan dan Perak juga di tahap membimbangkan, dipercayai susulan penularan jangkitan varian delta yang disahkan sebagai dominan di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Khairy mengesahkan bahawa tiada kes positif direkodkan dalam kalangan atlet negara yang pulang dari temasya sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kita buat saringan seperti biasa untuk sesiapa yang balik, malah penjujukan genom dilakukan sekiranya ada kes positif dan arahan ini sudah diberikan kepada makmal berkaitan, termasuk daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Setakat ini, tiada kes positif dalam kalangan atlet kita,” katanya menjawab kebimbangan penularan varian berkepentingan (VOI), jenis ‘Mu’ atau B.1.1621 di Tokyo.

Sumber hmetro/bharian

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Be the first to comment on "Boleh rentas negeri tetapi perlu patuh SOP"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*