“Semua Orang Ada Kereta, Kita Je Naik Motor” – Nak Balik Hostel MRSM, Anak Tersentak Dengar Luahan Ibu…

“TIDAK ada salahnya kekurangan di dunia,” begitulah salah satu komen pada video seorang gadis yang menangis gara-gara terkenangkan memori bersama ibunya.

Rakaman tersebut menunjukkan dia mengalirkan air mata apabila mengimbas tentang ibunya yang pernah meluahkan rasa rendah diri kerana tidak mempunyai kereta seperti ibu bapa lain di sekolahnya.

Video tersebut setakat ini meraih hampir 120,000 tontonan di aplikasi TikTok.

Bercerita kepada mStar, Nur Fatihah Syahirah Nafrizam, 20, berkata, dia mengimbau kembali saat ibunya, Nor Faiza Isnin, 46, berasa ‘satu kekurangan’ kerana hanya mampu menghantar dia pulang ke asrama dengan menunggang motosikal,

Menurut Nur Fatihah, pada waktu itu kesemua ibu bapa lain menghantar anak-anak mereka dengan kereta dan hanya dia dan ibunya sahaja pulang ke asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak di Melaka itu dengan menaiki motosikal.

“Sepanjang lima tahun saya berada di MRSM Alor Gajah dulu, setiap kali outing atau pulang bermalam memang ibu yang akan ambil dan hantar naik motosikal. Jadi tak kiralah beg tu besar mana sekali pun, memang saya akan naik motor sebab itu je kenderaan yang kami ada.

“Alhamdulillah memang rezeki saya waktu itu sebab dapat MRSM yang dekat dengan rumah, perjalanannya pun ambil masa lebih kurang dalam 15 minit sahaja. Waktu tu saya dengan ibu sahaja yang naik motosikal, ibu bapa lain hantar anak mereka naik kereta.

gxc

Fatihah (dua, kanan) bangga dengan ibunya kerana mampu menyediakan keperluan asas buat mereka adik-beradik.

“Saya masih ingat lagi ada suatu hari tu, masa ibu nak balik macam biasalah saya akan salam dan minta dia doakan anaknya. Tiba-tiba ibu cakap ‘semua orang naik kereta, kita je naik motor. Nanti kalau ada rezeki, ibu beli kereta okay?’.

“Rasa sebaklah bila ibu cakap macam tu, sebab saya okay je naik motosikal dan tak rasa pun ia sebagai satu kekurangan. Cuma saya tak sangkalah yang ibu rasa seperti dia tak dapat sediakan keperluan yang secukupnya buat kami sekeluarga,” katanya yang menetap di Alor Gajah, Melaka.

Lebih mesra disapa Fatihah, dia berkata, ibunya itu melakukan banyak kerja untuk menyara mereka sekeluarga selepas bercerai pada tahun 2016.

Namun gadis itu berbangga dengan pengorbanan ibunya yang berjaya menyediakan segala keperluan untuk anak-anak tidak kira waktu susah atau senang.

“Ibu saya ni pernah buat macam-macam jenis pekerjaan untuk kami adik beradik, sebelum ini dia pernah bekerja di sebuah kedai makan dekat R&R Jejantas Ayer Keroh. Tapi terpaksa ditutup disebabkan wabak Covid-19 pada Mac tahun lepas.

“Jadi sekarang ni Ibu berniaga bakso dan oden dari rumah dengan bantuan adik, dia ada buat COD dan kalau nak datang pick-up pun boleh. Selain itu, ibu juga menjual buku kanak-kanak dan pelbagai lagi benda di saluran Telegram untuk tampung kehidupan kami sekeluarga.

jhg

Ibunya akan memastikan setiap anak-anaknya dapat pendidikan yang sepatutnya.

“Ibu selalu mendahulukan anak-anaknya daripada diri dia sendiri. Benda yang saya paling bangga dengan ibu ialah susah mana pun keluarga kami, saya dan adik beradik semua dapat keperluan asas secukupnya.

“Makan, minum dan pakaian semua cukup. kami semua juga dapat pendidikan yang sepatutnya. Bagi saya semua itu adalah pengorbanan paling besar ibu untuk kami dan sampai bila-bila pun saya rasa tak akan terbalas jasa dia,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Bachelor Pendidikan Rendah di Universiti Antarabangsa Albukhary di Alor Setar, Kedah.

Menurut anak sulung daripada empat beradik ini, ibunya merupakan seorang yang tegas dan amat mementingkan pelajaran.

Bagaimanapun, dia diberi kebebasan untuk menceburi apa jua bidang yang diminatinya.

“Benda yang paling saya suka tentang ibu ni ialah dia bukan seorang yang suka memaksa. Sebab ibu beri kebebasan kepada semua anak-anaknya untuk mengejar cita-cita mereka, dia tak pernah sekat minat kami.

“Tetapi dalam masa sama dia juga seorang yang tegas dan mementingkan pelajaran. Jadi kalau kami adik-beradik malas nak pergi sekolah atau rasa masalas nak ke sekolah, dia memang akan bertanya dan cuba untuk memahami apa sebabnya.

Benda yang paling saya nak ialah untuk ibu berehat daripada bekerja mencari duit demi keluarga.

“Dalam tegas dia tu, ibu juga seorang yang sangat boleh dibawa berbincang. Contohnya kalau ada sebarang masalah, saya selesa nak bercerita dengan dia dan nasihat yang diberikannya itu semuanya boleh dipakai,” ujarnya.

Sebagai seorang anak, Fatihah juga memasang niat mahu memewahkan ibunya kerana insan kesayangannya ini tidak pernah berpeluang untuk merasai semua itu.

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya untuk ibu berehat dan giliran mereka adik-beradik pula membalas segala jasa dan pengorbanannya.

“Kalau ada rezeki memang saya nak mewahkan ibu, belikan dia rumah yang besar, kereta siap dengan pemandu, gelang emas. Sebab ibu saya tak ada semua itu dan saya tak nak dia rasa kekurangan bila tengok orang lain.

jhv

Fatihah (dua, kiri) mahu membalas segala jasa ibunya untuk membesarkan mereka sekeluarga.

“Benda yang paling saya nak ialah untuk ibu berehat daripada bekerja mencari duit demi keluarga. Sebab saya rasa dia dah cukup penat membesarkan kami adik-beradik dan tiba masanya untuk kami semua membalas jasanya.

“Saya tahu rezeki Allah itu luas dan bila kita rasa diri ini susah, sebenarnya ada lagi orang yang jauh lebih susah. Bila kita ada kekurangan contohnya dari segi harta, mungkin Allah kurniakan kelebihan dari segi lain pula.

“Apa-apa sekali pun kita kena belajar bersederhana dan bersyukur dengan apa yang sedia ada,” katanya.

Sumber Mstar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*