Polis Perak Nafi Dua Pelajar Meninggal Dunia Akibat Vaksin, Ini Punca Sebenarnya




IPOH: Polis menafikan kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di sini disebabkan vaksin COVID-19 sebagaimana didakwa menerusi rakaman video tular.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kematian dua pelajar berkenaan masing-masing disebabkan jangkitan COVID-19 dan penyakit jantung.

Beliau berkata, kematian pertama direkodkan pada 18 Julai lalu membabitkan seorang pelajar perempuan sekolah itu yang disahkan positif COVID-19.

Katanya, pelajar itu menghidap kencing manis dan darah tinggi tahap kronik selain dua bulan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurutnya, kematian kedua direkodkan pada 17 September lalu membabitkan seorang pelajar lelaki yang meninggal dunia disebabkan penyakit jantung.

“Maklumat disebarkan tidak benar dan mengelirukan. Memang ada dua orang pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia tetapi bukan disebabkan vaksin.

“Kedua-dua kejadian tiada kena-mengena dengan vaksin kerana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja bermula 20 September lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, polis akan memanggil individu dipaparkan dalam video berkenaan bagi membantu siasatan memandangkan dakwaan tidak benar itu menimbulkan kegusaran awam.

Klip video berdurasi satu minit 38 saat memaparkan seorang wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak supaya pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin COVID-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang mengalami alahan serius selepas divaksin.

Polis buka kertas siasatan dakwaan dua pelajar mati akibat vaksin

Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan dua pelajar sebuah sekolah di negeri ini yang dikatakan meninggal dunia disebabkan suntikan Vaksin Covid-19.

Dakwaan tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 38 saat yang dirakam dalam sebuah majlis dipercayai diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

“Kita telah menerima dua laporan polis hari ini masing-masing daripada pegawai pendidikan (kesihatan) daerah Ipoh dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai.

“Laporan dibuat kedua-dua pihak itu adalah berkaitan ketidakpuasan hati mengenai dakwaan kematian dua pelajar sekolah berkenaan adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kematian dua pelajar tersebut tidak mempunyai kaitan dengan vaksin Covid-19 kerana kedua-duanya belum pun menerima suntikan berkenaan.

Katanya, pelajar perempuan tingkatan lima yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) adalah disebabkan masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif Covid-19.

Jelasnya, kematian pelajar lelaki tingkatan lima itu pada 17 September lalu di hospital sama pula kerana penyakit jantung berlubang.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di Perak bermula 20 September lalu manakala kematian dua pelajar itu disahkan sebelum PICK Remaja dilaksanakan.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kesahihan maklumat,” katanya

Sumber UTUSAN

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*