
“SAYA akui kesilapan.”
Demikian kata ibu kepada Daniel Iskandar, remaja berusia 19 tahun yang didakwa atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
Remaja tersebut mendapat perhatian ramai selepas video dia dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap, menjadi tular di media sosial.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Jasma, 41, mengakui kecuaian dalam membesarkan anak mungkin menjadi antara punca menyebabkan remaja itu terabai hingga terlibat dalam jenayah.
Menurutnya, apapun kesalahan yang dilakukan oleh anaknya itu adalah berpunca daripada dirinya dan bekas suami yang khilaf dalam mendidik serta membesar remaja tersebut.
“Pengajaran saya dapat dalam hal ini, apapun kesalahan punca datang daripada ibu bapa. Saya akui kesilapan yang membuatkan dia terabai dan membawa diri.
“Bagi saya ini adalah kecuaian diri saya sebagai ibu,” katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan semakan semula hukuman terhadap Daniel di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan tersebut, Jasma berkata, dia sangat bersyukur dan berpuas hati terhadap perintah mahkamah supaya Daniel menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Jasma juga tidak mahu memaksa anaknya itu untuk tinggal bersama dia atau datuknya kerana merasakan remaja itu sudah cukup besar untuk membuat keputusan sendiri.
“Saya serahkan keputusan untuk tinggal dengan siapa selepas ini kepada dia sendiri. Sebab saya tak nak ada paksaan.
“Kalau saya kata duduk dengan saya, khuatir nanti dia akan memberontak. Mungkin lebih daripada ini, dia boleh buat buat. Cuma sekarang ini, saya mahu dia dapat pendidikan dan kesedaran,” katanya. –
Remaja curi tabung masjid: Hukuman penjara, denda digantikan dengan khidmat masyarakat
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Isnin mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar, remaja yang didakwa atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan demikian terhadap remaja berusia 19 tahun itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Sebaliknya kata beliau, hukuman itu digantikan dengan melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.
Pendakwaan kes tersebut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat manakala remaja itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.
Turut hadir peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja berkenaan kerana cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al-Islahiah, Kuang, Rawang pada minggu lalu.
Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Peguam kongsi detik pertemuan dengan remaja curi tabung masjid, beri nasihat padu kepada masyarakat – “Semoga dia betul-betul insaf”
“WALAU apa pun, harap ada sinar untuknya dan semoga ada hidayah untuk dia.”
Demikian mesej seorang individu yang bermurah hati mendermakan wang berjumlah RM4,000 bagi menjelaskan denda yang dikenakan terhadap Daniel Iskandar, remaja yang cuba mencuri tabung sebuah masjid baru-baru ini.
Mesej tersebut dikongsikan oleh peguam, Azman Abdullah, yang menjelaskan sendiri denda remaja tersebut menggunakan wang sumbangan individu dermawan berkenaan.
“Ini adalah antara mesej-mesej yang dihantar oleh hamba Allah tersebut kepada saya. Saya yakin bahawa beliau ikhlas membantu adik Daniel dalam kes ini. Beliau telah meminta agar saya merahsiakan identitinya,” kata Azman kepada mStar.
Berkongsi lebih lanjut, Azman berkata dia turut berkesempatan bertemu dengan remaja berusia 19 tahun itu pada pagi Jumaat (14 Januari) sebelum dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.
“Saya sempat berpesan kepadanya agar berubah menjadi insan dan Muslim yang baik. Tinggal semua perkara yang tidak baik.
“Anggap kejadian ini sebagai suatu pengajaran. Mulakan hidup baru. Masa tu, saya lihat dia menitiskan air mata. Semoga dia betul-betul insaf atas apa yang telah berlaku,” kata Azman lagi.
Azman membuat perkongsian di Facebook mengenai denda yang dijelaskan olehnya menggunakan wang yang disumbangkan seorang individu.
Kes membabitkan Daniel mendapat perhatian masyarakat baru-baru ini selepas video memaparkan remaja lelaki itu dimandikan seperti ‘jenazah’ kerana cubaan mencuri tabung sebuah masjid pada 8 Januari lalu, menjadi tular di media sosial.
Pada Khamis (13 Januari), Mahkamah Majsitret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja berkenaan kerana kesalahan tersebut.
Ketika perbicaraan, dia mendakwa terpaksa bertindak sedemikian bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat ubatan datuknya yang menghidap kencing manis, sekali gus mengundang simpati netizen.
Namun dalam perkembangan terbaharu, datuk kepada remaja terbabit tampil menjelaskan situasi sebenar dan mendedahkan bahawa dia yang menyarankan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang supaya membuat laporan polis ke atas cucunya itu.
Saya sempat berpesan kepadanya agar berubah menjadi insan dan Muslim yang baik. Tinggal semua perkara yang tidak baik.
Mengulas lanjut, Azman berpandangan kes tersebut menjadi perhatian dan mencetuskan reaksi yang pelbagai ekoran daripada tindakan individu yang tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan video berkenaan di media sosial.
“Tindakan sebegini adalah amat tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat. Saya memang berharap agar pelaku (yang telah menyebarkan klip video) dapat ditangkap dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
“Sekali pun adik Daniel disyaki telah melakukan sebarang kesalahan, orang awam tidak sepatutnya menghukumnya dengan cara sedemikian rupa.
“Sebaliknya, dia seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa dengan seberapa segera untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang difikirkan wajar di sisi undang-undang,” jelasnya.
Resit sebagai bukti denda dikenakan terhadap Daniel Iskandar sudah dijelaskan.
Azman dalam masa yang sama turut menitipkan mesej kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi sesuatu perkara yang boleh memalukan pihak lain di media sosial.
“Janganlah sesekali berkongsi sesuatu yang boleh memalukan sesiapa sahaja di media sosial. Tambah-tambah lagi sesuatu yang boleh menimbulkan kekecohan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Seterusnya, jangan sesekali mengecam sesuatu atau sesiapa sahaja, sekali pun individu tersebut ada melakukan sebarang kesilapan atau kesalahan.
“Budaya kecam mengecam ni langsung tidak memberi manfaat kepada kita semua. Dan kalau kita tak tahu fakta sebenar, kita tak perlu komen. Diam adalah lebih baik,” katanya lagi.
Sumber Mstar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih
Be the first to comment