
SUSULAN laporan polis berkaitan kematian pengasas produk kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, isu tersebut diserahkan kepada Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Polis Antarabangsa (Interpol).
Perkara itu disahkan oleh Polis Kelantan pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan.
Sebaliknya, katanya, pihak polis mengambil keterangan terhadap individu terlibat sebagaimana laporan yang dibuat oleh pengadu.
“Dia (pengadu) buat laporan, jadi kita akan ambil keterangan kerana hendak tahu apa sebenarnya berlaku kerana laporan itu terlalu umum.
“Bagaimanapun untuk siasatan apa yang dipertikaikan, masalah semasa kejadian dan apa yang berlaku kita akan rujuk (hantar) pada Wisma Putra dan Interpol,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, pada Isnin.
Muhamad Zaki berharap, pihaknya diberikan ruang untuk meneliti satu persatu laporan yang diterima bagi memberi keadilan kepada semua.
“Keadilan ini mesti mempunyai fakta yang tepat dan polis tidak mahu masyarakat membuat andaian sendiri.
“Ini bukan siasatan kes kematian tetapi siasatan berkait laporan yang dibuat sama ada ia benar atau tidak.
“Hal kematian dan kemalangan itu sudah disiasat di sana (Thailand) dan perkara tersebut telah lama berlaku,” katanya.
Beliau menjelaskan, dalam siasatan dalaman dilakukan, pihaknya akan meneliti individu yang disebutkan dalam laporan polis sekiranya ia boleh membantu siasatan.
“Siasatan tersebut terarah kepada apa yang didakwa oleh pengadu.
“Kejadian ini berlaku sekian lama mungkin berdasarkan percakapan saudara mara, rakan-rakan menyebabkan ia menimbulkan curiga,” katanya.
Katanya, jika ada kebenaran polis akan rujuk pihak berkuasa negara jiran untuk siasatan lebih lanjut.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan ahli keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare tampil membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lebih lanjut dilakukan berhubung kematian Allahyarhamah Faziani.
Usahawan kosmetik itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019
Terdahulu,
Keluarga pelik urusan bawa balik jenazah pengasas Dnars terlalu cepat… Selepas 3 tahun abang minta SPRM siasat
ABANG sulung pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Mohd Faisal Rohban Ahmad membuat laporan mendakwa pengurusan membawa pulang jenazah Allahyarham Faziani Rohban ke negara ini dari Thailand tidak mengikut tatacara yang sah.
Laporan tersebut dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lundang, Kelantan menerusi firma guaman Shaharuddin Hidayu & Marwaliz pada Ahad.
Menurut Peguam bela dan peguam cara, Leftenan Kolonel Bersekutu Azhar Ahmad, keluarga memohon satu penyiasatan dilakukan oleh SPRM kerana mendakwa urusan penghantaran jenazah tersebut tidak melalui Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsul Malaysia di Songhkla yang disahkan oleh seorang pegawai di Wisma Putra, Putrajaya.
“Jenazah Faziani tiba terlalu cepat ke Malaysia melalui pintu sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang pada jam 4 petang hari sama kemalangan pada 18 Mei 2019.
“Urusan penghantaran jenazah arwah didakwa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang iaitu dipercayai tidak mempunyai Surat Kebenaran dari Perwakilan Malaysia di negara yang berlaku kematian,” katanya.
Katanya lagi, tempoh jenazah arwah yang dibawa pulang tersebut sangat cepat berbanding beberapa hari yang diperlukan pada kebiasaan kerana perlu melalui beberapa prosedur di Thailand.
Sementara itu Mohd Faisal berkata, laporan tersebut dibuat bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian Allahyarham.
“Keluarga sememangnya bersyukur apabila jenazah dapat dibawa pulang awal, namun kami mengesyaki berlaku salah guna kuasa atau unsur rasuah dalam urusan penghantarannya.
“Laporan baru dibuat sekarang kerana kekangan keadaan Covid-19 dalam negara dan kami keluarga memohon pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya.
Dalam kejadian tragis yang berlaku tiga tahun lalu, Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia pada usia 40 tahun manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim pula cedera apabila kenderaan Toyota Estima dinaiki mereka terlibat kemalangan di Pattani, Thailand pada pukul 10.30 pagi.
Pada Khamis lalu, keluarga tersebut juga membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham yang mendakwa dicurigai.
Sumber Mstar
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih
Be the first to comment