
Isteri kepada penyanyi, Cat Farish iaitu Suriani Hassan memberitahu sehingga ke hari ini dia masih tertanya-tanya kenapa bekas suaminya itu melafazkan cerai sebanyak tiga kali dalam satu masa tanpa sebab.
Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa saya diceraikan. Saya terkejut apabila dia melafazkan cerai sebanyak tiga kali dalam satu masa tanpa sebab. Saya tak nak komen lebih lanjut mengenai perkara ini.
Namun apa yang boleh saya katakan, saya sudah membuat pendaftaran pengesahan cerai di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan pada 16 Disember lalu untuk mahkamah menentukan berapa jumlah talak yang dilafazkan Cat.
Menurut Suriani dia diceraikan pada 13 Disember lalu walaupun baru dua tahun mendirikan rumah tangga. Tambah Suriani, dia reda dengan segala ketentuan yang berlaku dan memohon Cat memberikan kerjasama baik untuk perbicaraan kes perceraian mereka yang bakal berlangsung pada 16 Januari nanti.
Sebelum ini saya cuba menghubungi Cat sebanyak tiga kali bagi menyelesaikan perkara ini, tetapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas. Jadi saya anggap dia memang berniat untuk ceraikan saya dan berharap kes ini akan selesai segera.
Apapun keputusan yang bakal ditentukan nanti saya reda dan anggap kami tiada jodoh. Tipulah kalau saya masih tak sayangkan perkahwinan ini kerana usia pernikahan kami masih baru. Malah sepanjang dua tahun berkahwin saya pernah hamil sebanyak dua kali, tapi tiada rezeki apabila saya mengalami keguguran pada tahun lalu.
Tak Mahu Keruhkan Keadaan, Ini Kenyataan Cat Farish
Cat Farish tampil berkata mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
Menurut Cat, dia tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung lafaz cerai sebanyak tiga kali itu. Tambahnya, tiada apa yang boleh diceritakan lagi kepada umum. Ujar Cat lagi, semua perkara yang berlaku membabitkan dirinya dan isteri sahaja. Malah, keluarga mereka tidak tahu akan perkara tersebut.
Tak pasti juga macam mana orang luar boleh hidu. Itu yang tak syok. Kalau saya jawab, isu ini berpanjangan pula. Lagi pula sekarang ini kami mengambil pendekatan untuk berdiam diri dulu. Ditambah pula masing-masing sibuk dengan kerja. Saya juga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Di samping itu, Cat menyerahkan segalanya kepada pihak mahkamah untuk menentukan sama ada lafaz cerai tersebut sah ataupun tidak.
Sebenarnya perkara ini lah yang paling ditakuti dan tak nak berlaku. Siapa yang berkahwin nak cerai kan? Apa pun yang terjadi, saya mohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat kami.
Sumber: Harian Metro via Oh Bulan
Be the first to comment