
PELAWAK Atu Zero menjelaskan tindakannya mempersendakan Nabila Razali menerusi program The Masked Singer Malaysia musim ketiga baru-baru ini bukan perkara rekaan sebaliknya kenyataan yang pernah tular sebelum ini.
Bagaimanapun kata Atu atau Sharid Kunal Doli Sharif, 31, dia mengakui kesilapan atas keterlanjuran kata terhadap Nabila namun berharap komen itu dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk Nabila memperbaiki mutu nyanyiannya selepas ini.
“Daripada segi kata-kata memang saya salah. Namun melihat pada sudut berbeza, anggaplah ia sebagai pembakar semangat untuk dia menyanyi lebih baik ketika membuat persembahan live selepas ini.
“Apa yang saya cakap ketika program itu bukannya tak betul. Perkara itu pernah viral sebelum ini. Jadi saya cakap sahajalah,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Isu ini mula timbul apabila Nabila meluahkan rasa kecewa dan tersinggung terhadap komen Atu kepada salah seorang peserta program berkenaan yang bersiaran pada malam Jumaat.
Salah seorang peserta iaitu Si Tangkis menyanyikan lagu Pematah Hati yang pernah dipopularkan oleh Nabila.
Ketika memberi komen, Atu secara spontan memberitahu individu di sebalik kostum itu bukan Nabila kerana penyanyi itu tidak boleh membuat persembahan secara langsung.
Memberi respon kepada hantaran yang dibuat Nabila, Atu memberitahu dia sudah menghubungi penyanyi itu menerusi pesanan di Instagram namun tidak berbalas.
“Saya dapat tahu hal tersebut apabila ada orang maklumkan kepada saya. Mungkin peminat dia. Jadi saya terus DM (direct messege) dia mohon maaf. Dia tidak balas mesej tersebut.
“Mungkin dia tengah marah, jadi berikanlah masa dahulu. Kalau selepas ini marah lagi saya akan ulang minta maaf,” ujarnya.
Sementara itu Atu juga berjanji akan lebih berhati-hati apabila mengeluarkan punchline atau bahan jenaka supaya tidak lagi menyinggung perasaan mana-mana pihak di masa akan datang.
Dalam masa sama apabila bercakap tentang isu pelawak sering mempersendakan orang lain ketika membuat persembahan, katanya ia bergantung kepada penerimaan penonton.
“Mestilah saya akan lebih berhati-hati selepas ini.
“Ada bahan lawak yang boleh diterima orang, namun ada juga yang dianggap sensitif,” jelasnya.
Sumber : MSTAR ONLINE
Be the first to comment