
IBU kepada Aiman Tino mengesahkan menghantar rombongan merisik ke rumah teman wanita penyanyi itu yang dikenali sebagai Syarah Haifa, 24, di Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hazelina Mat Jalil, 47, berkata, sebagai ibu dia merestui pilihan anaknya itu dan berharap agar jodoh mereka akan sampai ke jinjang pelamin.
“Semalam hanya majlis merisik sahaja. Sekadar sesi suai kenal antara kedua belah keluarga. Itu pun kali pertama saya berjumpa Syarah.
“Ini adalah pilihan Aiman dan sebagai ibu pastinya saya merestui hubungan tersebut. Mereka sudah lama berkenalan dan Aiman mula cakap untuk ke fasa seterusnya sejak beberapa bulan lalu.
“Apabila dia sudah tergerak hati, maka saya dan ayahnya menyokong keputusan tersebut,” katanya kepada mStar.
Terdahulu tular di media sosial gambar Aiman, 24, bersama kekasihnya itu dan menerusi satu perkongsian lain memperlihatkan Hazelina menyarung cincin ke jari Syarah.
Bercakap soal perancangan untuk berkahwin, Hazelina memberitahu pihak keluarga masih belum menetapkan sebarang tarikh.
Menyifatkan Syarah sebagai seorang wanita yang lemah-lembut dan baik, Hazelina dalam masa sama memohon peminat turut merestui hubungan Aiman.
“Saya tak boleh nak cakap lebih-lebih soal kahwin kerana belum ada perancangan. Perbincangan akan dibuat antara keluarga kedua-dua belah pihak nanti.
Aiman kini sedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Syarah seorang yang cantik dan lemah-lembut. Keluarganya juga menerima kami dengan baik. Saya harap peminat Aiman juga dapat merestui hubungan mereka,” jelasnya.
Sementara itu dalam perkongsian gambar Aiman di laman Instagram miliknya sebelum ini dia turut meletakkan nama Syarah sebagai penata gaya bagi satu sesi fotografi.
Sumber : MSTAR ONLINE
Be the first to comment