
PELAKON Adam Shahz dan bekas isteri iaitu Fatin Afeefa gagal mencapai kata sepakat berhubung isu hak penjagaan anak perempuan mereka, Ivy Herra Sophia di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada pagi Khamis.
Proses sulh bagi membincangkan pertikaian tersebut bagaimanapun disambung pada 28 Februari ini sebagai sebutan semula hak penjagaan anak mereka di hadapan hakim.
Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 42, ketika ditemui berkata, dia tetap dengan pendirian untuk mendapatkan haknya sebagai seorang bapa agar silaturahim mereka tidak terputus.
Kata Adam, meskipun tidak mendapat hak penjagaan bersama, sekurang-kurangnya dia mahukan hak lawatan untuk bertemu anak kesayangannya itu.
“Saya cuma mahu berjumpa anak… kalau saya tak dapat hak penjagaan pun, saya mahu hak lawatan.
“Sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu walaupun kami sudah bercerai tetapi kalau tengok situasi sekarang, saya perlu dapatkan hak saya,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata, dia sudah tiga bulan tidak bersua muka dengan Ivy yang kini sudah berusia lapan tahun.
Kata Adam, dia sendiri tidak tahu keberadaan anaknya itu kerana nombor telefonnya telah disekat oleh keluarga bekas mentua.
“Sebagai bapa, saya sendiri pun tak tahu mana anak saya sekarang. Katanya, masuk asrama.
“Saya tidak tahu apa-apa tentang anak saya sebab pihak sebelah Fatin dan bekas ibu mentua sekat nombor telefon saya,”ujarnya.
“Apa yang saya dapat tahu, ada sumber cakap anak saya dimasukkan ke sebuah sekolah asrama. Tapi sekolah asrama mana pun saya tak tahu,” katanya.
“Sebelum ini saya boleh berjumpa dengan Ivy antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi.
“Katanya anak saya dimasukkan ke sebuah tempat mengaji. Jadi waktu saya hanya Sabtu dan Ahad setiap minggu. Itu sahaja.
“Sebagai seorang ayah, saya bukan nak minta hak lebih. Tapi bila saya ada cuti, permudahkanlah urusan saya. Adakan masa anak dengan saya. Itu sahaja,” tegasnya.
Terdahulu, Adam hadir seorang diri ke mahkamah mengenakan baju berwarna biru gelap lengkap bersongkok sekitar 11 pagi manakala Fatin yang berjubah hitam hadir ditemani dua peguam dan suaminya, Aliff Awang.
Sementara itu, cubaan pihak media mendapatkan kenyataan Fatin berhubung kes berkenaan tidak berjaya apabila aktres tersebut enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.
Terdahulu pelakon filem Juvana itu memberitahu dia terpaksa membawa kes berkenaan ke muka pengadilan bagi menuntut haknya sebagai seorang bapa ekoran dia tidak dapat bertemu dengan anaknya.
Menurut Adam, selepas bercerai dengan Fatin pada Mei 2017, dia lebih selesa mengambil langkah berdiam tanpa membuka sebarang kisah atau masalah yang pernah berlaku antara mereka.
Bagaimanapun tuduhan segelintir pihak terhadapnya membuatkan dia lebih berani bersuara dan mempertahankan haknya.
Untuk rekod, Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 namun bercerai empat tahun kemudian.
Selain Ivy, Fatin turut memiliki seorang anak lelaki iaitu Adam Aisy Arrian yang kini berusia 10 tahun hasil perkahwinan sebelum itu.
Sumber : MSTAR ONLINE
Be the first to comment