Kerana Tak Dapat Sediakan Menu Rahmah, Peniaga Ini Disindir. Ini Luahan Perasaan Peniaga Selepas Disindir

Pelancaran Menu Rahmah mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia khususnya di bandar terutama di lokasi restoran yang menawarkan menu berharga murah yang dapat meringankan beban mereka.

Bagaimanapun, ada pengusaha restoran yang mengeluh sering disindir pelanggan apabila mereka tidak menawarkan menu pada harga berkenaan.

Peniaga restoran di Setia Alam, Shah Alam, Noraliza Hashim, berkata pihaknya tidak mampu menyediakan makanan pada harga RM5 seperti disarankan kerajaan kerana kos bahan mentah yang tinggi.

“Bagi pelanggan, memang Menu Rahmah dilihat inisiatif yang baik untuk membantu mereka yang kurang mampu.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu memperhalusi pelaksanaan Menu Rahmah ini dari sudut peniaga sebenar. Kos bahan mentah dan kos pekerja makin meningkat, secara tidak langsung ia memberi kesan kepada harga makanan yang dijual,” katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya bagaimana pasar raya besar seperti Mydin dan rangkaian restoran lain mampu melaksanakan inisiatif itu, Noraliza berkata, mereka boleh menyediakan Menu Rahmah kerana sebagai pemborong, bahan diperoleh terus dari ladang dengan harga murah.

“Sebaliknya kami tak mampu menjual Menu Rahmah kerana bahan yang kami beli agak mahal,” katanya.

Seorang lagi peniaga restoran di Terengganu, Fauzi Mohd berkata, pihaknya mengetahui mengenai inisiatif Menu Rahmah daripada seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Pegawai itu menghubungi dan meminta saya menjual satu atau dua pilihan makanan di bawah inisiatif Menu Rahmah, namun saya terpaksa menolaknya kerana kos bahan mentah terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fauzi berkata, mengakui inisiatif itu suatu perkara yang baik untuk pengguna, namun inisiatif itu tidak membantu peniaga kecil sepertinya.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dilaksanakan, perniagaan saya rugi teruk sehingga terpaksa menanggung kerugian besar, saya tutup perniagaan dan hilang punca pendapatan.

“Pada PKP kedua, saya memulakan perniagaan secara kecil kecilan dan sehingga kini hanya cukup menampung perbelanjaan keluarga saja, tiada langsung simpanan, jadi saya meminta KPDN mengusahakan sesuatu untuk peniaga seperti kami supaya kami juga mampu menyertai inisiatif kerajaan dalam usaha membantu rakyat dalam keadaan ekonomi kini,” katanya.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*