
Kurang kesedaran mengenai masalah keresahan atau ‘anxiety’ sebelum ini menyebabkan penyanyi, Stacy Anam, 33, mengalami gastrik kronik atau refluks gastroesofagus (Gerd).
Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam berkata, dia mewarisinya daripada bapa dan tidak sangka banyak perkara boleh menyebabkan penyakit itu termasuk banyak makan cili.
“Dari dulu suka makan cili, rupanya cili itu ‘trigger’. Penata rias saya, Yana melarang saya makan cili menjelang konsert. Patutlah tangan bergetar tiba-tiba.
Kalau nak cakap berdebar, ini bukan berdebar. Tengah bersenam, lepas bersenam pun masih rasa.
“Rupanya, memang keturunan ada Gerd. Bapa saya pun memang ada Gerd. Patutlah ada gastrik, selalu muntah, rasa masam, sudah makan pun masih rasa masam, refluks terlalu tinggi.
“Bila ingat balik bapa pun pernah kena hantar dirawat di sini (Kuala Lumpur) kerana jantung terlalu laju. Dia pun selalu sendawa, alih-alih memang keturunan,” katanya.
Dengan bantuan keluarga, Stacy mampu menanganinya tanpa perlu mendapatkan rawatan daripada pakar. Cara sokongan mereka lebih kepada tekankan aspek kesihatan dan psikologi positif.
“Tidak ada berjumpa pakar, kaunseling atau maklumkan pasal penyakit itu. Saya juga sangat rapat dan terbuka dengan keluarga. Bila bercerita mengenainya, mereka pun terbuka, jadi rasa perkara itu normal.
“Bila berkurung sendiri dalam bilik pun, keluarga menjerit suruh keluar. Perasaan itu secara automatik akan hilang. Paling teruk saya akan muntah,” katanya.
Stacy akui bukan mudah tapi kena kuat mengawal penyakit terbabit. Sebolehnya, dia nasihatkan mereka yang berdepan masalah sama agar tidak layankan perasaan itu.
“Saya cuma nak pesan, cakap terbuka saja pasal hal ini. Jangan simpan biarpun luaran tengah gembira, tapi dalaman tengah menderita. Jangan layankan ke arah yang tak baik.
“Memang senang nak cakap, tapi bila terkena sakitnya sampai terdiam. Tidur sudah cukup, bersenam pun buat, apa lagi yang tak kena? Tapi mungkin sudah terbiasa, faham dengan penyakit itu, jadi biarlah terlayan,” katanya.
Stacy ditemui pada pelancaran lagu baharunya berjudul Teriak. Dia juga bakal mengadakan konsert sulungnya di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.
Sumber : HMETRO ONLINE
Be the first to comment